Jumaat, 12 Ogos 2016 | 8:39pm

Campur tangan AS amat bahaya - Khairul Azwan

NAIB Ketua Pemuda Khairul Azwan Harun bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Tumpat, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Berangan, Kota Bharu, tadi. - Foto Syamsi Suhaimi
NAIB Ketua Pemuda Khairul Azwan Harun bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Tumpat, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Berangan, Kota Bharu, tadi. - Foto Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Malaysia kini terdedah kepada bahaya apabila tindakan Amerika Syarikat (AS) yang cuba campur tangan dalam urusan dan pentadbiran negara dengan dibantu segelintir rakyat tempatan dan badan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan bekas pemimpin negara.

Sehubungan itu, Naib Ketua Pemuda Khairul Azwan Harun, berkata mereka yang  membantu kuasa besar itu untuk campur tangan dalam hal ehwal negara boleh disifatkan sebagai tali barut yang harus ditentang.

Katanya, cubaan campur tangan itu boleh berlaku dalam bentuk persepsi, tohmahan dan menyampaikan maklumat dan digunakan oleh AS untuk cuba mengganggu gugat kestabilan politik negara.

"Pembabitan AS dalam urusan pentadbiran negara, kami (Pemuda UMNO) menganggap tindakan ini amat berbahaya (kepada negara). Sikap ego mereka menganggap sebagai polis antarabangsa dengan sewenang-wenangnya cuba mengganggu gugat kestabilan politik negara.

"Ini terbukti dengan pembabitan pihak Peguam Negara AS dalam kes saman Jabatan Kehakiman (DoJ) AS yang dengan mudah menuduh pemimpin negara yang belum tentu kesahihannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Tumpat, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Berangan, di sini, tadi.

Yang turut hadir, Pemangku Ketua UMNO bahagian, Datuk Rosdi Abd Aziz; Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd Azam Ismail; Ketua Puteri UMNO negeri, Mazzuani Ardila Ariffin dan Ketua Puteri UMNO bahagian, Nor Azita Ismail.

Khairul Azwan yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata, cubaan AS itu juga walaupun tidak dalam bentuk ketenteraan ia tetap amat berbahaya kerana menimbulkan persepsi negatif dan ketegangan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Oleh itu, saya merasakan sudah tiba masa dan ketika untuk rakyat bangkit menangkis cubaan campur tangan luar kerana kita tidak boleh mengizinkan kuasa asing, individu atau NGO yang mempunyai kepentingan peribadi dan merosakkan sistem demokrasi yang diamalkan dalam negara ini," katanya.

Ditanya bagaimana Pemuda UMNO melihat mereka yang membantu kuasa asing untuk campur tangan dalam hal ehwal negara ini, beliau berkata sesiapa sahaja yang bekerjasama dengan kuasa asing sama ada NGO, individu atau parti politik, mereka adalah tali barut.

"Kita (rakyat) perlu tentang habis-habisan (golongan tali barut) kerana mereka akan merosakkan sistem dan kestabilan politik dalam negara kita. Kita mahukan keamanan, kestabilan (politik) dan membangunkan negara, tetapi kerana kepentingan peribadi mereka sanggup merosakkan kesejahteraan dan keamanan negara yang rakyat kecapi hari ini," katanya.

Oleh itu, katanya, tanggungjawab Pemuda UMNO sekarang adalah untuk mempertahankan kepimpinan perdana menteri sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Katanya, Pemuda UMNO juga akan mengadakan siri penerangan kepada seluruh ahlinya bermula pada mesyuarat Pemuda bahagian sekarang.

"Saya sendiri akan mengetuai majlis penerangan ini dan turun ke akar umbi bertemu rakyat memberi penjelasan mengenai situasi negara yang kini berdepan dengan bahaya campur tangan asing," katanya.

Berita Harian X