Isnin, 29 Februari 2016 | 11:28pm

Terengganu terus mendokong Najib

MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.
MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, menyifatkan keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad keluar UMNO sebagai pilihan bekas Perdana Menteri itu.

Beliau berkata, keputusan Tun M itu adalah hak beliau dan ia tidak menjejaskan UMNO untuk meneruskan agenda bagi kepentingan ahli parti dan rakyat keseluruhannya.

"Itu hak dan pilihan beliau..ia bukan tindakan kali pertama pun.

"Yang penting sekarang, kita mendokong dan memberi kepercayaan kepada kepemimpinan diterajui Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

"Kita pertahankan institusi presiden parti dan pemimpin negara kita selaras dengan ajaran agama Islam, yang menetapkan perlu dan wajib untuk kita taat kepada pemimpin dan pemerintah," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Terengganu yakin UMNO dan Barisan Nasional tetap meneruskan agenda bagi kepentingan ahli parti dan rakyat keseluruhannya.

Beliau mengulas mengenai keputusan Tun M dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Ismail, keluar UMNO seperti diumumkan dalam satu sidang media di Putrajaya, hari ini.

Berita Harian X