Selasa, 5 Januari 2016 | 9:25pm

Vell Paari dilantik Bendahari Agung MIC

Datuk Seri S Vell Paari
Datuk Seri S Vell Paari

KUALA LUMPUR: Datuk Seri S Vell Paari dilantik sebagai Bendahari Agung MIC manakala A Sakthivel dikekalkan sebagai Setiausaha Agung parti itu. Tujuh ahli parti itu juga dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) baharu MIC.

Pelantikan baharu itu diumumkan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam selepas mempengerusikan mesyuarat CWC di ibu pejabat parti hari ini.

Mereka yang dilantik adalah bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah; Sunther Subramaniam; Ketua Bahagian MIC Kota Raja, Datuk R S Maniam dan Ketua Bahagian MIC Kelana Jaya, Datuk S M Muthu.

Turut dilantik, Ketua MIC Bahagian Sepang, V Gunalan; Ketua MIC Bahagian Ampang, S Kalimithu dan bekas Ketua Bahagian MIC Subang, N R Krishnan.

"Pelantikan baharu itu, menjadikan jumlah keseluruhan CWC 45 orang sekarang," katanya.

Subramaniam berkata, mesyuarat itu juga membincangkan mengenai pelaksanaan 11 program parti itu untuk masyarakat India di negara ini sepanjang 2016.

Beliau berkata, menerusi program transformasi itu MIC berhasrat melahirkan lebih ramai usahawan dan menyasarkan seramai 2,000 usahawan baharu dilahirkan tahun ini.

Selain itu, katanya, sayap wanita parti itu menerusi program transformasi keluarga akan memberi tumpuan kepada 1,000 keluarga miskin terpilih dengan bantuan pendidikan dan kemahiran disalurkan kepada golongan ibu sebagai usaha meningkatkan pendapatan keluarga.

"Pusat bimbingan kaunseling juga akan ditubuhkan di ibu pejabat parti bagi membolehkan masyarakat mendapatkan khidmat nasihat terutamanya mengenai pendidikan," katanya.

Selain itu, katanya, bilik gerakan MIC akan mula diwujudkan di setiap negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 sebagai persediaan dan tidak perlu menunggu pada saat akhir.

Berita Harian X