Ahad, 1 November 2015 | 4:25pm

Politik harus ikut ideologi semangat kesatuan - Hishammuddin

MENTERI Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (tengah) menerima sijil Malaysia Book of Records bagi penyertaan mahasiswa Institut Pengajian Tinggi terbanyak pada Malaysian United Run di Padang Merbok, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad
MENTERI Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (tengah) menerima sijil Malaysia Book of Records bagi penyertaan mahasiswa Institut Pengajian Tinggi terbanyak pada Malaysian United Run di Padang Merbok, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Politik harus diterjermahkan mengikut ideologi semangat kesatuan tanpa mengira warna kulit, agama dan bangsa, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan juga minta mana-mana gabungan parti politik supaya menerapkan perpaduan bagi membina masa depan bangsa dan negara.

Katanya, sebagai asas politik semua pihak perlu menjauhi politik perpecahan dan kebencian.

"Dalam politik tidak semestinya menjurus kepada perpecahan kerana politik ada had dan batasannya dan janganlah kita marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

"Apa yang penting sekarang kita mestilah ada asas-asas politik yang membina untuk masa depan negara," katanya selepas menyertai larian amal Malaysian United Run anjuran Institut Onn Jaafar (IOJ) di Padang Merbuk, di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir semalam berkaitan Penubuhan Parti Amanah Negara (Amanah) yang dipelopori beberapa bekas pemimpin PAS secara tidak langsung mewujudkan peluang kepada UMNO untuk mencari titik persefahaman dengan PAS.

Mukhriz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah berkata, tindakan pemimpin PAS melompat ke Amanah adalah peluang kepada UMNO untuk menghidupkan semula usaha mencari titik persefahaman dengan PAS. - BERNAMA

Berita Harian X