Ahad, 16 Ogos 2015 | 3:30pm

UMNO Pahang dukacita jika ada tokoh sekongkol mahu tumbangkan kerajaan

MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob bersalaman dengan perwakilan ketika hadir untuk merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Indera Mahkota di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah. - Foto Zulkepli Osman
MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob bersalaman dengan perwakilan ketika hadir untuk merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Indera Mahkota di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah. - Foto Zulkepli Osman

KUANTAN: UMNO Pahang menyifatkan tindakan seorang tokoh UMNO bersekongkol dengan anggota Parlimen pembangkang mahu menumbangkan kerajaan menerusi pintu belakang sebagai sesuatu yang mendukacitakan.

Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata gerakan itu, jika wujud, mencerminkan ketidaksepakatan sesama anggota UMNO, sedangkan mereka sepatutnya bersatu bagi menghadapi situasi politik masa kini.

"Patut sekarang kita kena bersatu hadapi musuh politik. Apa cara (hadapi musuh) itu kita kena fikirlah. Tetapi jika orang ini hendak menjatuhkan orang itu, orang itu menjatuhkan orang ini, bila masa kita mahu hadapi musuh?," katanya.

Adnan yang juga Menteri Besar Pahang berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Indera Mahkota di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini, hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan wujud gerakan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada yang didalangi seorang tokoh UMNO dengan sokongan anggota Parlimen pembangkang.

Sementara itu, dalam ucapannya, Adnan meminta pemimpin dan anggota UMNO, khususnya daripada Bahagian Indera Mahkota untuk terus berdiri teguh di belakang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan bekerja keras menawan kembali hati pengundi.

Katanya, anggota parti tidak boleh bersikap "seronok sendiri" apabila melihat komitmen yang ditunjukkan pada mesyuarat perwakilan kerana terdapat golongan pengundi yang lebih besar perlu ditawan, khususnya pengundi di atas pagar.

"Contohnya di Indera Mahkota kita mempunyai 13,000 anggota UMNO, tetapi jumlah pengundi ialah 65,000 orang. Jadi kita mesti susun langkah-langkah yang boleh memenangi hati ... jika tidak semua, sekurang-kurangkan separuh dari jumlah itu," katanya.

Sehubungan itu, Adnan mengingatkan pemimpin dan anggota parti untuk terus berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengira kaum dan agama, tanpa memikirkan balasan atau soal menjadi calon pilihan raya, sebaliknya dengan matlamat mengutamakan parti. - BERNAMA

Berita Harian X