Isnin, 4 Mei 2015 | 8:49pm

Guan Eng elak soalan berkaitan perkara dibangkitkan ADUN Penanti

KETUA Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
KETUA Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

PERMATANG PAUH: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng enggan menjawab soalan berkaitan perkara yang ingin dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr Norlela Ariffin pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata Speaker DUN yang sepatutnya menjawab soalan itu.

Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP, menegaskan bahawa Speaker DUN, Law Choo Kiang adalah orang yang perlu dirujuk, memandangkan isu yang dibangkitkan itu melibatkan penolakan usul.

"Anda bertanya salah orang. (Jika perkara itu berkaitan dengan usul) anda sepatutnya tanya speaker... beliau yang membuat keputusan," katanya ketika diminta mengulas tentang perkara itu, oleh seorang wartawan pada sidang akhbar harian PKR bersempena pilihan raya kecil Permatang Pauh, di Yayasan Aman di sini hari ini.

Pilihan raya kecil 7 Mei ini menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Suhaimi Sabudin (Barisan Nasional), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

Di BUKIT MERTAJAM, ketua pembangkang DUN Pulau Pinang, Datuk Jahara Abdul Hamid berkata ketidakjujuran kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang terserlah apabila menolak usul yang diutarakan Norlela.

Katanya rakyat khususnya di Penanti harus membuka mata untuk melihat apa yang berlaku di sekeliling atau meneruskan kehidupan tanpa sebarang pembelaan.

"Penanti adalah kawasan DUN dalam Parlimen Permatang Pauh...dia (Norlela) minta kerajaan negeri ambil perhatian pun ditolak. Ini menunjukkan mereka tidak serius menyelesaikan masalah rakyat.

"ADUN sendiri pun tak boleh tolong, macam mana nak sokong lagi," katanya kepada pemberita di sini.

Khamis lepas, Norlela dalam akaun Facebooknya mendakwa dibuli kerajaan negeri apabila semua usul yang dibentangkan dalam persidangan DUN 11 Mei ini untuk kepentingan rakyat ditolak.

Antara usul yang dibentangkan Norlela adalah untuk mendapatkan ketetapan DUN bagi memohon menguatkuasakan akta dan garis panduan sedia ada untuk mengurangkan risiko banjir dan kemudaratan kepada penduduk dan alam sekitar. - BERNAMA

Berita Harian X