Rabu, 25 March 2015 | 6:15pm

Perbalahan hudud, bukti pembangkang amalkan keselesaan politik - Hishammuddin

MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berucap pada majlis perasmian Desa Tentera Darat Sungai Lembing di dewan serbaguna Desa Tentera Darat, Sungai Panching. - Foto Farizul Hafiz Awang
MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berucap pada majlis perasmian Desa Tentera Darat Sungai Lembing di dewan serbaguna Desa Tentera Darat, Sungai Panching. - Foto Farizul Hafiz Awang

KUANTAN: Kemelut politik antara PAS dengan rakan seperjuangannya dalam pakatan pembangkang berhubung hukum hudud jelas membuktikan perjuangan mereka selama ini hanya bertunjangkan keselesaan daripada segi politik.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, keadaan itu membolehkan rakyat melihat sendiri sandiwara pembangkang selama ini yang mengamalkan 'politik menghalalkan cara' walaupun sebenarnya mereka mempunyai asas perjuangan berbeza.

"Hari ini apabila diuji dengan perkara pokok seperti hudud, jelas persefahaman mereka tidak begitu mendalam dan akhirnya rakyat sendiri dapat melihat mereka mempunyai perjuangan berbeza.

"Mereka tidak ada matlamat lain selain untuk merampas kuasa, untuk kedudukan, jawatan dan maki hamun pemimpin selain hidup untuk pecah belah masyarakat. Akhirnya rakyat dapat nilai sendiri perkara yang sebenar," katanya

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan kunci rumah keluarga Desa Angkatan Tentera Darat Sungai Panching di Kuantan, Rabu.

Majlis itu dihadiri sama Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Panglima Markas 4 Briged (Mekanize) Brig Jen Ahmad Tajuddin Abdul Ghani.

Hishammuddin berkata, pembangkang boleh mengaburi rakyat hanya seketika, namun akhirnya kebenaran akan terserlah juga terutama dalam soal perjuangan hakiki, asas membina negara bangsa dan perpaduan rakyat pelbagai agama dan bangsa negara ini.

Ketika diminta mengulas pendirian UMNO berhubung pembentangan rang undang-undang hudud di Parlimen oleh PAS nanti, Hishammuddin berkata "Hudud merupakan tuntutan Allah, tetapi seperti Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sebut sebelum ini perkara ini berkisar kepada pelaksanaan. Tunggulah...

"Sekarang ini mereka tidak boleh beri penyelesaian dan jelaskan kepada parti bersekutu sendiri tentang perkara itu, apatah lagi kepada orang ramai.

"Jadi kenapa pula nak alih pandangan itu kepada Barisan Nasional dan UMNO, biar mereka selesai masalah dalaman mereka dahulu kerana rang undang-undang ini ditetapkan oleh mereka," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X