Rabu, 24 Disember 2014 | 1:55pm
Mohamed Azmin Ali. - Foto Shazreen Zamzuri
Mohamed Azmin Ali. - Foto Shazreen Zamzuri

PAS tak ikut semangat tahaluf siyasi disepakati

SUBANG JAYA: Krisis dalaman pakatan pembangkang semakin meruncing apabila PAS didakwa membuat keputusan membawa rang undang-undang persendirian berkaitan hudud ke Parlimen tanpa pengetahuan PKR dan DAP.

Tindakan PAS yang bertegas dalam isu pelaksanaan hudud di Kelantan itu terus mendapat kritikan kepemimpinan parti sekutunya kerana didakwa membelakangi semangat tahaluf siyasi pakatan pembangkang.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, berkata cadangan itu tidak pernah dibawa dan dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat Majlis Presiden pakatan pembangkang.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor turut menegaskan pelaksanaan hukum hudud bukan menjadi dasar bersama yang disepakati antara tiga parti dalam pakatan itu.

Perlu perbincangan Majlis Presiden

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakan sekutu bahawa segala keputusan berkaitan masa depan pakatan perlu dibincangkan dan diputuskan oleh Majlis Presiden, termasuk cadangan kerajaan PAS Kelantan untuk membawa rang undang-undang persendirian berkaitan hudud ke Parlimen.

"Kita tidak boleh bercakap sebagai individu atau parti... kalau kita hendak membentuk sebuah kerajaan pakatan rakyat, maka dasar itu mestilah dasar yang disepakati oleh pakatan rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kepimpinan Wanita Selangor 2014, di sini, semalam.

Kelmarin Ketua Penerangan PAS Selangor yang juga EXCO Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani Selangor, Zaidy Abdul Talib berpendapat PKR wajib menyokong hasrat kerajaan Kelantan melaksanakan undang-undang hudud, memandangkan pemimpin tertingginya beragama Islam.

Beliau dilaporkan berkata, PKR ‎tidak sewajarnya mengikut jejak langkah DAP yang menolak hudud kerana parti itu majoriti ahlinya bukan beragama Islam.

Mohamed Azmin berkata, dalam kegawatan ekonomi hari ini, pakatan pembangkang perlu lebih memberi tumpuan terhadap isu yang terkandung dalam maqasid syariah membabitkan soal ekonomi, sosial, keselamatan yang perlu diselesaikan dalam syariah Islam.

"Perkara ini juga dipersetujui oleh semua ulama besar di dunia, bukan saja ulama dalam negara ini," katanya.

Berita Harian X