Jumaat, 3 Februari 2023 | 3:22pm
Fadzli (kanan) bersama sebahagian pelajar yang menerima bantuan Maybank. - Foto UniSZA
Fadzli (kanan) bersama sebahagian pelajar yang menerima bantuan Maybank. - Foto UniSZA

Pelajar asnaf UniSZA dapat bantuan Maybank

KUALA NERUS: Maybank menyampaikan dermasiswa RM150,000 kepada 25 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Naib Canselor UniSZA, Prof Dr Fadzli Adam, berkata dermasiswa itu diberikan kepada pelajar keluarga asnaf fakir, asnaf miskin, anak yatim piatu, keluarga B40 dan keluarga bermasalah yang tidak mampu menanggung kos pengajian dan sara hidup.

Beliau berkata, sumbangan RM6,000 seorang membabitkan bantuan yuran pengajian, yuran kolej kediaman dan sara hidup selama dua semester.

"Pelajar yang menerima dermasiswa ini akan dipantau oleh UniSZA dengan menyediakan program pembangunan akademik dan sahsiah supaya graduan yang dilahirkan seimbang dan holistik.

"UniSZA juga universiti pertama yang menerima bantuan dermasiswa dari Maybank," katanya selepas majlis penyerahan sumbangan di Kampus Gong Badak, di sini, semalam.

Yang turut hadir Bendahari UniSZA, Suhaili Mohd dan Pengarah Maybank Pantai Timur, Ahmad Farid Qoureshmi Md Daud.

Sementara itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Antarabangsa, Amir Farhan Nordin, 22, berkata sumbangan itu amat berharga untuk meneruskan pengajian ke peringkat di UniSZA.

"Saya sangat bersyukur atas sumbangan yang diberikan Maybank dan terima kasih juga pada UniSZA kerana memilih saya sebagai penerima dermasiswa ini," katanya.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris Komunikasi, Nur Irdina Nakifla, 21, berkata beliau berterima kasih atas sumbangan itu yang membantunya menyara hidup di kampus.

"Saya dari keluarga susah, iaitu ayah seorang nelayan. Bantuan ini dapat saya guna sepanjang pengajian di UniSZA," katanya.

Berita Harian X