JOHOR BAHRU: Warga China mencatatkan bilangan pelajar antarabangsa terbesar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tahun ini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM, Prof Dr Shamsul Sahibuddin, berkata ini diikuti pelajar dari Indonesia, Bangladesh, Mesir dan Nigeria.
Katanya, secara keseluruhan universiti itu mempunyai kira-kira 31,000 pelajar membabitkan Kampus UTM Johor Bahru dan Kampus UTM Kuala Lumpur.
"Daripada jumlah itu, 4,000 pelajar antarabangsa dengan jumlah yang paling ramai dari China. Kebanyakan mereka melanjutkan pengajian Doktor Falsafah (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua), selain jurusan teknologi, sains komputer dan juga pengurusan.
"Kampus UTM Johor Bahru menempatkan 21,000 pelajar dan Kampus UTM Kuala Lumpur pula 10,000 pelajar, manakala Kampus UTM Pagoh, Muar tiada pelajar kerana dijadikan sebagai pusat penyelidikan," katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat bersama Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail di sini.
Sementara itu, Shamsul berkata, UTM cakna dengan keperluan dan kesejahteraan warga kampus termasuk pelajar daripada keluarga golongan berpendapatan rendah (B40) dengan melaksanakan beberapa program bertujuan meringankan beban sekali gus membantu mereka memberi tumpuan kepada pembelajaran masing-masing.
"Antara program yang dilaksanakan termasuk bakul makanan, menu RM3.50 serta gerobok rezeki di 11 kolej kediaman penuntut serta dua masjid di kedua-dua kampus di Johor Bahru dan Kuala Lumpur.
"Selain itu, UTM juga menyahut seruan kerajaan untuk melaksanakan 'Menu Rahmah' bagi meringankan lagi beban golongan itu," katanya. – BERNAMA