Jumaat, 20 Januari 2023 | 11:39am
Kumpulan Lentera Kesuma mengadakan persembahan pada majlis graduasi.
Kumpulan Lentera Kesuma mengadakan persembahan pada majlis graduasi.
Fatin Amni menerima anugerah daripada Mohd Khairul.
Fatin Amni menerima anugerah daripada Mohd Khairul.
Lulusan SPM MRSM Kuala Klawang digalakkan meneruskan pengajian hingga ke peringkat sarjana dan PhD.
Lulusan SPM MRSM Kuala Klawang digalakkan meneruskan pengajian hingga ke peringkat sarjana dan PhD.
Pelajar MRSM Kuala Klawang yang akan menamatkan persekolahan diraikan dalam majlis khas.
Pelajar MRSM Kuala Klawang yang akan menamatkan persekolahan diraikan dalam majlis khas.

Pelajar tuntut ilmu berterusan bantu majukan negara

KUALA KLAWANG: Pelajar mesti menuntut ilmu secara berterusan kerana sains dan teknologi sentiasa berkembang untuk memudahkan tugas manusia serta membantu pertumbuhan ekonomi.

Pengarah Institut Kejuruteraan Integrasi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Prof Ts Dr Mohd Khairul Ahmad, berkata sains dan teknologi juga menentukan kemajuan sesuatu bangsa.

Katanya, bangsa Jepun dianggap maju dalam tempoh yang singkat selepas penduduknya menguasai sains dan teknologi.

Beliau berkata, pelajar di Malaysia juga mesti mengambil sikap progresif untuk terus maju dalam pelbagai bidang moden.

"Tamat persekolahan membuka peluang untuk pelajar mengejar cita-cita dengan melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.

"Pelajar tidak harus selesa dengan ijazah sarjana muda tetapi harus berusaha menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi seperti sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD).

"Usaha menambah ilmu secara berterusan dan memperbaiki penampilan diri akan menentukan kejayaan dalam kerjaya," katanya ketika merasmikan Majlis Graduasi Maktab Rendah Sains MARA Kuala Klawang di sini.

Seramai 127 pelajar yang akan menamatkan persekolahan tingkatan lima diraikan dalam majlis berkenaan.

Sementara itu Pengetua, Datin Molizah Alis Abdul Malek, berkata 52 pelajar berjaya mendapat sijil kelas pertama dengan mencatat himpunan nilai gred purata 3.5 dan ke atas.

Katanya, pelajar MRSM Kuala Klawang mencatat beberapa pencapaian penting dalam bidang akademik dan kokurikulum sepanjang tahun 2022, selaras dengan matlamat melahirkan pelajar yang seimbang dalam intelek serta sahsiah.

Anugerah pelajar terbaik keseluruhan dan kepimpinan (perempuan) diraih oleh Fatin Amni Mohd Faiz, manakala Muhamad Norshahmi Norhisham terpilih sebagai pelajar terbaik kepimpinan (lelaki).

Hadiah pelajar terbaik akademik (lelaki) dimenangi oleh Ammar Eiji Anuar, manakala kategori perempuan diraih oleh Darneetha Rameswaran.

Sijil pelajar terbaik kokurikulum (lelaki) dimenangi oleh Muhammad Hazrul Adam Mohd Rusli, manakala kategori perempuan dicatat oleh Nureen Dania Mohamad Abu Bakar.

Seramai 127 pelajar MRSM Kuala Klawang menamatkan persekolahan.
Seramai 127 pelajar MRSM Kuala Klawang menamatkan persekolahan.

Berita Harian X