JOHOR BAHRU: Peningkatan dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi sektor pendidikan tinggi akan membolehkan universiti untuk terus berkhidmat kepada negara menerusi pelaksanaan lebih banyak aktiviti penyelidikan dan inovasi berimpak tinggi.
Menyambut baik saranan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk meningkatkan dana R&D baru-baru ini, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata usaha itu akan dapat merealisasikan hasrat Malaysia dalam menjadi negara maju menerusi penyelidikan.
Beliau berkata pada masa sama, universiti boleh memperhebat bidang tujahan dan kebitaraan yang diterajui menerusi penemuan dan penciptaan ilmu dan teknologi baharu, bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat dan industri terutama dalam fasa pascapandemik.
"UTM akan terus memberi fokus strategik bagi mempertingkatkan kualiti penyelidikan dan inovasi berdasarkan lima bidang kebitaraan utama iaitu 'Frontier Materials' (bahan keterhadapan), 'Resource Sustainability' (kelestarian sumber), 'Innovative Engineering' (kejuruteraan inovatif), 'Health and Wellness' (kesihatan dan kesejahteraan) dan 'Smart Digital Community' (komuniti pintar digital).
"Kita juga bertekad menjayakan Pelan Strategik enVision UTM 2025 dan UTM Research and Innovation Blueprint (Rangka Tindakan Penyelidikan dan Inovasi UTM) 2025 khasnya bagi mengungguli penyelidikan dan inovasi sebagai satu misi besar universiti," katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Ahmad Fauzi berkata pihaknya turut menyambut baik galakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar institusi pendidikan tinggi mempertingkatkan sinergi dengan sektor kerajaan, industri dan masyarakat (quadruple helix), dalam pelaksanaan aktiviti penyelidikan serta inovasi.
Baru-baru ini, Mohamed Khaled menyatakan saranan agar pelaburan bagi bidang R&D di Malaysia segera ditingkatkan melebihi satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sekali gus memacu ekonomi negara menerusi inovasi dan teknologi termaju. – BERNAMA