Selasa, 10 Januari 2023 | 12:36pm
Universiti Sains Malaysia. - Foto Bernama
Universiti Sains Malaysia. - Foto Bernama

USM dilantik pengerusi kursi kajian genetik

KOTA BHARU: Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu (UNESCO) melantik Universiti Sains Malaysia sebagai pemegang Kursi kajian genom manusia berkaitan talasemia bermula 2022 hingga 2026.

USM dalam kenyataannya berkata, pengiktirafan itu adalah kali pertama daripada UNESCO untuk kajian mengenai genetik manusia.

Kajian berkenaan yang akan memberi tumpuan secara khusus kepada talasemia akan diketuai oleh Prof Dr Zilfalil Alwi dari Pusat Genom Manusia, Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM.

Prof Dr Zilfalil Alwi dari Pusat Genom Manusia, Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM. - Foto ihsan USM
Prof Dr Zilfalil Alwi dari Pusat Genom Manusia, Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM. - Foto ihsan USM

Program Kursi UNITWIN/UNESCO ditubuhkan sejak 1992 membabitkan lebih 850 institusi di 117 negara. Objektif penubuhannya untuk menggalakkan kerjasama dan rangkaian antarabangsa antara universiti untuk meningkatkan kapasitinya melalui perkongsian pengetahuan dan rangkaian kolaboratif.

Sehingga 10 Oktober 2022, empat universiti awam di Malaysia pernah dilantik sebagai pengerusi program di bawah UNESCO iaitu Universiti Malaya (2016), Universiti Kebangsaan Malaysia (2019), Universiti Sains Malaysia (2020 & 2022), Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik, Kuala Lumpur (2022).

Talasemia adalah antara penyakit genetik yang paling kerap berlaku terutama sekali di negara berpendapatan rendah dan sederhana. Tanpa rawatan yang sewajarnya, pesakit talasemia menghadapi banyak komplikasi yang boleh membawa kepada kematian. Pesakit talasemia tahap serius terdedah kepada tekanan fizikal, psikologi dan sosial yang ketara.

Berita Harian X