PEKAN: Seramai 47 pelajar Program Ijazah Dual Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Beijing Jiaotong University (BJTU) China yang bakal menyambung pengajian di BJTU menerima sumbangan hadiah kecemerlangan Duta Besar China.
Pelajar yang dipilih daripada program ijazah dual UMP–BJTU adalah pelajar asasi UMP dengan keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelajar dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) cemerlang dan mengikuti program mobiliti di China.
Kaunselor Pendidikan Kedutaan China di Malaysia, Zhao Changtao, berkata pihaknya menghargai komitmen UMP dalam menjayakan program kerjasama itu.
Katanya, sebagai penghargaan, pihaknya memberikan sumbangan kepada 47 pelajar program berkenaan.
"UMP adalah sebuah universiti teknikal yang terkenal di Malaysia dan ramai jurutera dan bakat teknikal dilahirkan di sini.
"UMP juga telah menjalinkan kolaborasi dankerjasama dengan banyak universiti ternama di China.
"Program ijazah dual ini akan membuka lembaran sejarah antara UMP dan BJTU bagi mengeratkan hubungan kerjasama strategik dalam meningkatkan kemahiran teknikal.
"Selain itu, ia membuka peluang yang lebih meluas terhadap pembangunan akademik kedua-dua universiti," katanya di Dewan Bankuet UMP Pekan, di sini semalam.
Sementara itu, Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin, berkata pertumbuhan sektor pembuatan dan industri di Malaysia pada masa ini memerlukan lebih banyak tenaga pakar dan berkemahiran dalam pelbagai bidang teknologi.
Malah, katanya, Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga dilihat akan memberi lonjakan terhadap sistem pendidikan negara.
"Justeru, UMP menghargai sokongan Duta Besar China di Malaysia yang menyumbang sebanyak RMB100,000 atau RM65,000 kepada pelajar UMP hasil kerjasama dengan universiti dari China.
"Selain itu, UMP turut terbabit kerjasama lain dengan universiti di China termasuk program ijazah dual denganUniversiti Tianjin (TJU) serta program kerjasama dengan Universiti Ningxia (NXU) dan Sichuan Aerospace Vocational College (SCAVC).
"UMP telah dilantik sebagai Universiti Fokal bagi Program Latihan Kemahiran Industri Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
"Ia hasil rundingan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Malaysia Rail Link (MRL) dan Syarikat Komunikasi dan Pembinaan China (CCCC) sejak 2017," katanya.