Selasa, 3 Januari 2023 | 2:04pm
Ramai ibu bapa menyarankan supaya Program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) dikembalikan bagi menangani isu penguasaan 3M susulan kesan penularan COVID-19. Gambar hiasan.
Ramai ibu bapa menyarankan supaya Program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) dikembalikan bagi menangani isu penguasaan 3M susulan kesan penularan COVID-19. Gambar hiasan.

LINUS perlu dikembalikan, tangani 'lost generation'

Kes satu:

Farina, 38 resah apabila anaknya Raikal yang berusia lapan tahun mengambil masa hampir 10 minit untuk mengeja perkataan gembira. Malah membina ayat lengkap seakan-akan menjadi seksaan untuk anaknya itu.

Walaupun mampu berkomunikasi dengan baik seiring perkembangan usia namun dia gagal mengeja dengan baik apatah lagi membaca.

"Pada awalnya, saya dan suami cuba bersikap positif kerana tahu kelewatannya menguasai kemahiran membaca dan mengeja adalah disebabkan kumpulan umurnya adalah 'mangsa' Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 2020.

"Namun saban hari apabila sudah menghampiri tahun baharu dan Raiqal masih tidak dapat menguasai kemahiran 3M (membaca, mengira dan mengeja) ia adalah waktu kritikal buat kami sebagai ibu bapa," katanya.

Kes dua:

"Sebelum ini saya selalu melihat kelas pemulihan itu untuk kanak-kanak yang kurang perhatian menyebabkan mereka malas mengulang kaji.

"Tapi apabila PKP dilaksanakan dan murid bersekolah dalam talian, saya mula melihat kelas pemulihan adalah jawapan terbaik untuk anak," kata Rania, 40.

Bertugas sebagai penjawat awam, Rania berkata anaknya Haziq, sembilan tahun masih gagal membaca dengan lancar. Untuk mengeja satu perkataan, Haziq mengambil masa sekitar lima minit. Disebabkan itu dia hilang minat mengulang kaji pelajaran dan sentiasa mencari jalan untuk tidak membuat kerja sekolah.

Dua kes di atas adalah hal biasa yang dialami ibu bapa ketika ini susulan sesi persekolahan 'terhenti' gara-gara penularan COVID-19. Meskipun sesi persekolahan diteruskan dalam talian, ia ternyata memberi kesan kepada kemahiran 3M.

Hal ini menyebabkan ramai ibu bapa menyarankan supaya Program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) dikembalikan bagi menangani isu penguasaan 3M.

Biarpun Kementerian Pendidikan (KPM) sudah memperkenalkan Program Literasi dan Numerasi Sekolah Rendah (PLaN) untuk memastikan murid sekolah rendah menguasai sekurang-kurangnya Tahap Penguasaan Tiga dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik, ramai pihak melihat perlunya program LINUS perlu diberi nafas baharu.

Pengarah Akademik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Abdul Rahim Razalli, berkata keberkesanan program itu terbukti apabila murid Tahun Tiga berjaya menguasai literasi membaca dan menulis sejak LINUS 2.0 diperkenalkan pada tahun 2013.

Namun katanya, bermula 2019 Program LINUS diberhentikan dan digantikan dengan program pada peringkat sekolah yang memantau keperluan murid menguasai kemahiran literasi mengikut 'acuan sekolah' sendiri.

"Krisis global yang melanda dunia nyata menjejaskan penguasaan kemahiran 3M. Walaupun pembelajaran secara dalam talian namun secara telusnya penguasaan kemahiran 3M murid sekolah seluruh negara masih lemah," katanya.

Ini disebabkan kaedah dan teknik mengajar literasi 3M tidak berlaku secara semula jadi berbanding ketika sesi pembelajaran bersemuka.

Katanya, bagi mengatasi masalah literasi 3M yang dirujuk sebagai 'lost generation' atau keciciran pendidikan dan keberadaan mereka, diakui satu strategi bersepadu diperlukan dengan cara memperkasakan LINUS.

"Bagi mengelakkan masalah keciciran murid yang disebabkan hilang rasa minat akibat gagal menguasai 3M pada usia muda, KPM disarankan memperkenalkan semula Kaedah Gabungan Bunyi Kata (KGBK) pada peringkat pra sekolah dan Tahun Satu hingga Tahun Tiga yang mampu mengatasi masalah literasi itu pada peringkat awal," katanya.

Tambah Abdul Rahim, penggunaan pendekatan didik hibur amat membantu daripada segi menggalakkan pembabitan murid semasa PKP.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Sekolah Kebangsaan Bandar Seri Putra, Mej (B) Baharuddin Abd Gapar, berkata isu penguasaan murid Tahap Satu dalam 3M bukannya baharu apatah lagi sejak dunia dilanda COVID-19, ia memberi impak lebih mendalam kepada kumpulan murid terutama mereka yang berada di peringkat pra sekolah tahun 2020.

"Mereka ini ibarat kohort kritikal apabila berdepan dengan PdPR secara penuh pada usia mereka enam hingga tujuh tahun.

"Tahun yang sepatutnya mereka diajar untuk menguasai 3M namun akibat pandemik, ia secara jelasnya menampakkan peningkatan bilangan murid yang tidak dapat menguasai literasi itu secara menyeluruh.

"Apa pun, kita perlu akur situasi pandemik yang tidak boleh dielakkan ini termasuklah usaha KPM, sekolah, guru dan ibu bapa yang sentiasa mahukan terbaik bagi mengelakkan isu keciciran murid selain keciciran pembelajaran," katanya.

Beliau berkata, satu daripada usaha yang perlu diambil kira KPM adalah mengembalikan program LINUS walaupun ketika ini PLaN sedang giat dijalankan.

"PLaN adalah program sokongan pengajaran dan pembelajaran yang komprehensif dan menyeluruh berasaskan sekolah untuk murid Tahun Dua dan Tiga yang dilihat mampu mengatasi masalah 3M dalam jangka panjang.

"Begitu juga dengan LINUS yang perlu dikembalikan bagi mengimbangi pendedahan murid untuk menguasai 3M bagi memastikan golongan murid tercicir tidak ketinggalan jauh sebelum melangkah ke Tahap Dua.

"Apa yang saya lihat kini, di sekolah ini, sememangnya ada guru pembimbing program pemulihan diletakkan di bawah panitia Bahasa Melayu dan Matematik seperti yang termaktub dalam garis panduan PLaN KPM," katanya.

Beliau berkata, seperti diketahui umum, sebelum ini LINUS memberikan hasil baik berdasarkan pencapaian murid menguasai kemahiran 3M dengan sokongan guru dan ibu bapa.

"Dalam situasi kritikal untuk anak-anak kini, perlu ada pembabitan secara terus ibu bapa dan bukannya bergantung harap pada pihak sekolah.

"Mana-mana aspek kemenjadian murid, pastinya prestasi anak mereka akan bertambah baik dengan sokongan ibu bapa. Jadi, PIBG perlu memainkan peranan penting menyokong sekolah supaya murid tidak terus terabai terutama dalam isu penguasaan 3M," katanya.

Berita Harian X