Ahad, 31 Julai 2022 | 11:17am

UniSZA terima 1,845 pelajar baharu

KUALA TERENGGANU: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dijangka menerima kemasukan 1,844 pelajar baharu bagi Sesi Akademik 2022/2023, bermula esok.

Naib Canselor UniSZA, Prof Dr Fadzli Adam, berkata kemasukan pelajar ke kampus dilakukan secara berperingkat dengan 200 pelajar program Asasi esok, manakala bakinya 1,685 pelajar peringkat Diploma pada 8 Ogos.

Katanya, semua pelajar baharu itu akan mengikuti pengajian dalam Asasi Sains dan Perubatan serta 24 program Diploma di tujuh fakulti.

"Sesi Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) diadakan secara fizikal", katanya melalui kenyataan hari ini.

Dr Fadzl berkata, pelajar baharu akan menjalani Minggu Mesra Siswa (MMS) selama lima hari bermula Jumaat ini.

Katanya, UniSZA dijangka akan menerima kemasukan pelajar baharu yang mengemukakan permohonan, tetapi masih di peringkat fasa rayuan dan sedang diproses oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

"Seluruh warga kerja UniSZA sedang membuat persiapan rapi bagi melancarkan urusan pendaftaran kemasukan pelajar baharu," katanya.

Berita Harian X