Sabtu, 25 Jun 2022 | 9:25pm
Datuk Seri Dr Noraini Ahmad
Datuk Seri Dr Noraini Ahmad

Program Dermasiswa khusus untuk 1,000 pelajar

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan program Dermasiswa B40 Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dikhususkan kepada 1,000 pelajar dalam kalangan keluarga B40 yang mengikuti bidang TVET di peringkat diploma dan ijazah.

Ia membabitkan peringkat pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) iaitu universiti awam (UA), politeknik dan kolej komuniti.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata program ditawarkan kepada pelajar yang layak dan ditawarkan tempat pengajian melalui Sistem Permohonan Kemasukan Pelajar.

Katanya, ia boleh diakses menerusi laman web rasmi kemasukan pelajar iaitu upu.mohe.gov.my atau melalui sistem permohonan kemasukan pelajar di IPT masing-masing.

"Antara syarat khas yang dikenakan ialah pelajar memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun semasa bagi pengajian ke peringkat diploma dan memperoleh Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf pada tahun semasa bagi pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.

"Tempoh penajaan yang ditawarkan ialah tiga tahun kepada pelajar peringkat diploma dan empat tahun kepada pelajar ijazah sarjana muda," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sempena perasmian Minggu TVET Negara 2022 baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan mengenai pelaksanaan program Dermasiswa B40 TVET.

Sehubungan itu, Noraini berkata, pihaknya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana sentiasa prihatin terhadap keperluan pelajar.

Berita Harian X