Jumaat, 10 Jun 2022 | 11:39am
Pelajar Malaysia yang meneruskan pengajian di luar negara perlu memastikan program mereka diiktiraf oleh agensi awam. - Foto hiasan NSTP/SYARAFIQ ABD SAMAD
Pelajar Malaysia yang meneruskan pengajian di luar negara perlu memastikan program mereka diiktiraf oleh agensi awam. - Foto hiasan NSTP/SYARAFIQ ABD SAMAD

Rujuk MQA sebelum sambung pengajian di luar negara

KUALA LUMPUR: Pelajar Malaysia di Amerika Syarikat (AS) yang berdepan masalah berkaitan program pengajian boleh merujuk Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), menerusi penaja biasiswa seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (MARA) atau melalui Education Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata pihaknya sudah berbincang dengan wakil semua pihak berkenaan untuk mengatasi masalah, aduan dan rungutan yang dihadapi pelajar di AS terutama membabitkan akreditasi, pengiktirafan program atau institusi.

Katanya, perbincangan di antara semua pihak itu bagi memastikan pelajar yang melanjutkan pengajian di AS akan mendapat maklumat terkini mengenai universiti dalam senarai MQA atau institusi yang mendapat pengiktirafan.

"Ini bagi memastikan apabila pulang ke tanah air, pelajar tidak menghadapi masalah untuk diterima bekerja, terutama apabila memohon dalam perkhidmatan awam.

"Pelajar perlu memastikan pelaburan mendapat pulangan yang berbaloi," katanya.

MQA ialah badan yang melaksanakan Kerangka Kelayakan Malaysia sebagai landasan sistem jaminan kualiti pengajian tinggi, di samping menjadi tempat rujukan standard kelayakan kebangsaan serta berperanan menyelia jaminan kualiti serta akreditasi pendidikan tinggi negara.

Dr Mohammad Shatar berkata, terdapat kes pelajar mengikuti program yang tidak mendapat pengiktirafan dan menghadapi masalah untuk memohon pekerjaan di Malaysia.

Katanya, perbincangan itu diadakan bagi memastikan masalah sedemikian tidak berulang.

"Kerjasama di antara MQA dengan Council of Higher Education Accreditation (CHEA) pula akan mempercepat lagi proses penarafan, pengakreditasian dalam kalangan universiti di AS, terutama universiti yang ramai pelajar Malaysia menyambung pengajian, majoritinya peringkat ijazah sarjana muda," katanya.

Berita Harian X