Selasa, 12 April 2022 | 4:13pm
Sistem Putra Voting dilaksanakan sejak setahun lalu dalam pemilihan wakil MPP UPM.
Sistem Putra Voting dilaksanakan sejak setahun lalu dalam pemilihan wakil MPP UPM.

Pemilihan MPP dalam talian

KUALA LUMPUR: Pembabitan lebih 70 peratus mahasiswa dalam pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar 2022 (PMPP 2022) Universiti Putra Malaysia (UPM) mencerminkan kesedaran politik yang semakin meningkat dalam kalangan golongan muda.

Pengerusi Jawatankuasa PMPP (JPMPP) 2022, Kamil Arif Baihagi, berkata ia juga menjadi petanda baik pelaksanaan dan pewartaan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Salah satu mekanisma sokongan terhadap kelayakan undi 18 sebenarnya bermula daripada pilihan raya kampus.

"Ia menunjukkan generasi muda selaku pelapis arah tuju negara, menyokong proses demokrasi terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.

"Pembabitan mahasiswa sebagai pembuat keputusan ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada perubahan kampus UPM yang lebih berkebajikan, sejahtera dan berdaya saing," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Seramai 19 calon umum dan 57 calon fakulti bertanding untuk dipilih sebagai 11 wakil kerusi umum dan 34 wakil fakulti.

Dalam pemilihan itu, Rabiatul Adawiyah Fathor Rasi diumumkan calon umum yang meraih undian tertinggi iaitu 7,836 undi daripada keseluruhan 13,671 pengundi yang majoritinya terdiri daripada mahasiswa berusia antara 18 hingga 23 tahun.

Pembuangan undi secara maya menggunakan aplikasi telefon pintar, Putra Voting yang masuk tahun kedua pelaksanaannya, diselia sepenuhnya mahasiswa.

JPMPP dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) juga turut menganjurkan tiga forum berkaitan pilihan raya bersama mahasiswa membabitkan beberapa pegawai SPR.

Selain itu, BHEP turut mengadakan pelbagai kempen komunikasi untuk menggalakkan mahasiswa keluar mengundi.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UPM, Prof Dr Arifin Abdu dalam ucapannya semasa pengumuman keputusan PMPP 2022 berkata, pemilihan ini memperlihatkan mahasiswa mengambil peranan serius dalam menentukan kepemimpinan dalam pelajar.

Bagaimanapun katanya, aspek yang perlu ditingkatkan dalam PMPP selepas ini ialah memastikan peratusan mahasiswa keluar mengundi lebih tinggi serta kesedaran politik mereka semakin meningkat.

"Saya berbangga proses pilihan raya kampus dan kempen lima hari secara fizikal dan atas talian berjalan lancar dan aman.

"Ini pengalaman berharga kepada mereka yang akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi untuk negara kelak," katanya.

Berita Harian X