Selasa, 8 March 2022 | 8:52am

Tahap kepandaian berbeza tingkatkan motivasi belajar

SEBELUM ini setiap kali penggal baharu persekolahan tiba, rata-rata murid tertanya-tanya adakah akan berpindah ke kelas baharu? Adakah akan turun kelas atau naik kelas? Peralihan kelas menjadi petanda kepada pencapaian murid bagi tahun akademik sebelum itu.

Hal ini disebabkan sejak dahulu sistem pendidikan di Malaysia mengamalkan pengasingan kelas berdasarkan tahap akademik murid. Pada awalnya, sistem pengasingan kelas ini diwujudkan untuk membentuk persaingan dalam kalangan pelajar supaya gigih berusaha dalam pelajaran. Namun, sejauh mana ia mencapai tujuan apatah lagi di peringkat sekolah rendah diragui. Tambahan pula terdapat kecenderungan dalam kalangan murid dan ibu bapa meletakkan peperiksaan sebagai sangat penting sehingga mengabaikan asas pembangunan elemen pemikiran, sahsiah dan kepimpinan.

Walaupun keputusan peperiksaan yang baik itu penting dan seharusnya diusahakan oleh pelajar, tetapi mengaitkannya dengan tahap kepandaian dan kecemerlangan bukan langkah yang betul.

Pada usia yang muda, pelajar seharusnya tidak perlu ditekankan dengan keputusan pencapaian akademik. Sebaliknya, mereka perlu dididik untuk lebih memahami apa yang dipelajari, mengaplikasikannya dan bagaimana ia dapat dimanfaatkan dalam konteks semasa.

Justeru sejak 2017, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mula meneliti amalan ini dan pada 2019 ia dimansuhkan. Pemansuhan itu dibuat berasaskan keperluan untuk menggalakkan semua pelajar yang mempunyai tahap penguasaan akademik dicampurkan supaya dapat saling membantu selain untuk memperkasakan pentaksiran bilik darjah (PBD).

Ketika ini, walaupun berlaku peralihan kelas ia tidak lagi menumpukan kepada pencapaian akademik semata-mata. Sebaliknya di dalam satu kelas terhimpunnya murid dengan kepelbagaian tahap.

Kelebihan pengasingan kelas

1. Jika dilihat semula, asas pelaksanaan sistem pengasingan kelas mengikut penguasaan akademik atau istilah yang digunakan 'streaming' sudah diamalkan lebih 60 dalam sistem pendidikan. Ia berteraskan matlamat yang jelas iaitu untuk membentuk persaingan dalam kalangan pelajar untuk berada di kelas yang pertama. Hal ini membolehkan murid bersaing sesama mereka dan sesiapa sahaja boleh masuk ke kelas terbaik jika berusaha dengan gigih.

2. Apabila murid berada dalam satu tahap pencapaian ia memudahkan guru mengajar. Misalnya pelajar lemah dapat dikelompokkan untuk dibangunkan pembelajaran menerusi program seperti Literasi dan Numerasi (LINUS), Program Pemulihan 3M (PROTIM) dan program latih tubi oleh pihak sekolah. Sebaliknya setelah PBD dilaksanakan secara sepenuhnya, pelaksanaan kaedah ini tidak lagi menjadi suatu keutamaan.

3. Murid akan berasa lebih bermotivasi untuk ke kelas kerana tidak wujud rasa dibeza-bezakan. Mereka berpeluang untuk belajar dengan rakan sebaya dengan lebih baik jika diberi penekanan teknik pembelajaran yang betul

Kekurangan pengasingan kelas

1. Guru perlu lebih bekerja keras kerana aspek pembangunan kendiri, nilai motivasi dalam kalangan pelajar berbeza-beza apatah lagi jika pelajar datang daripada kelas akhir dan mempunyai masalah disiplin disebabkan kurangnya penumpuan yang diberikan pihak sekolah.

2. Murid juga perlu bekerja keras dan memiliki motivasi tinggi untuk bersaing dengan rakan lain yang jauh lebih pandai. Jika murid tidak mempunyai keyakinan diri atau tidak didorong atau disokong sama ada oleh ibu bapa atau guru, dia mungkin akan terus ketinggalan.

Justeru, tanpa pengasingan kelas, bagaimana murid belajar?

1. Pembelajaran rakan sebaya - Ia bermaksud murid bertindak mengajar rakannya yang lain. Kajian menunjukkan keberkesanan potensi pembelajaran rakan sebaya sebagai salah satu kaedah meningkatkan minat dan prestasi pelajar berpencapaian rendah.

2. Ubah pendekatan pengajaran - dalam hal ini guru perlu memainkan peranan bagi memastikan murid rasa dihargai, tiada tekanan dan mampu belajar dalam keadaan yang menyeronokkan. Dalam hal ini juga guru diharap dapat sentiasa berkomunikasi dengan pelajar selain menggunakan maklum balas daripada murid juga orang lain untuk menilai dan memperbaiki corak pengajaran. Hal ini membantu dalam mewujudkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

3. Guru boleh mendidik murid dengan membahagikan mereka kepada beberapa kumpulan dengan menyediakan satu tugasan untuk menyelesaikan masalah atau meminta pelajar menulis dan membincangkan kandungan mengenai topik tertentu. Galakkan pelajar untuk memberikan pandangan di dalam kelas menerusi pelbagai pilihan soalan berdasarkan isi pelajaran yang penting. Pendekatan yang berorientasikan pembelajaran berasaskan tahap yang mudah, kemudian berkembang kepada yang lebih terperinci.

Teknik pembelajaran aktif ini bukan menggantikan pendekatan pengajaran tradisional. Sebaliknya, sebagai menambah baik pendekatan untuk mewujudkan kepelbagaian dan perubahan berasaskan kadar kemampuan pada diri pelajar.

4. Pembelajaran sokongan (buddy support) - prestasi pelajar yang berubah-ubah dari masa ke semasa adalah kekangan kepada pelaksanaan kepelbagaian tahap akademik di dalam satu kelas yang sama. Pelaksanaan 'buddy support' atau sokongan rakan sebaya perlu diwujudkan menerusi pelajar yang berkeupayaan dan cemerlang akademik untuk membimbing rakan yang lemah. Kepelbagaian pembudayaan pembelajaran juga akan saling mempengaruhi di antara satu sama lain. Misalnya budaya rajin membaca, mengulang kaji, selalu bertanya, berani tampil ke hadapan kelas dan menjawab soalan.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris

Berita Harian X