Selasa, 22 Februari 2022 | 12:22pm
Berikutan penularan wabak COVID-19, inisiatif guru dan pihak sekolah meneroka pelbagai kaedah untuk menilai pencapaian murid dalam pembelajaran adalah usaha yang perlu diberi pujian. - Foto hiasan
Berikutan penularan wabak COVID-19, inisiatif guru dan pihak sekolah meneroka pelbagai kaedah untuk menilai pencapaian murid dalam pembelajaran adalah usaha yang perlu diberi pujian. - Foto hiasan

Kaedah peperiksaan buka buku uji keupayaan intelektual pelajar

Berikutan penularan wabak COVID-19, inisiatif guru dan pihak sekolah meneroka pelbagai kaedah untuk menilai pencapaian murid dalam pembelajaran adalah usaha yang perlu diberi pujian.

Antaranya adalah mengadakan peperiksaan secara buka buku atau 'pen book test'. Hal ini bermakna pelajar dibenarkan untuk menggunakan buku teks, rujukan, nota ringkas dan bahan sumber pembelajaran lain untuk menjawab soalan peperiksaan.

Pastinya wujud kerisauan, kebimbangan dan keraguan baik kepada ibu bapa mahupun masyarakat akan kemampuan kaedah peperiksaan begini. Sejauh mana ia boleh dijadikan ukuran penguasaan murid. Kerisauan itu mudah difahami kerana sebahagian kita sudah dibiasakan dengan bentuk peperiksaan tutup buku'.

Hakikatnya dalam menguji dan mengukur penguasaan pembelajaran pelajar, ia tidak hanya terhad kepada peperiksaan 'tutup buku' . Terdapat pelbagai bentuk pentaksiran dan pengujian yang dapat digunakan oleh guru untuk menilai keberkesanan pengajaran dan pembelajaran serta penguasaan pelajar.

Kaedah ujian begini perlu dilihat sebagai satu daripada bentuk penilaian dan pengujian. Bezanya, kaedah ini menguji keupayaan pelajar untuk mengaplikasi, mensintesis dan menjana idea daripada persoalan yang ditimbulkan.

Sebenarnya dalam persekitaran pembelajaran digital dan berhadapan dengan cabaran Revolusi Industri 4.0, pelaksanaan kaedah penilaian ini sesuai digunakan dalam memperkembangkan keupayaan intelektual pelajar.

Bagaimanapun, dalam pelaksanaannya guru perlu mempertimbangkan semula setiap bentuk soalan yang dibina. Pembinaan soalan sewajarnya disesuaikan dengan penekanan terhadap aras aplikasi, analisis, sintesis dan penilaian berbanding aras kefahaman dan pengetahuan.

- Foto hiasan
- Foto hiasan

Ini bagi memastikan pelajar diuji dengan apa yang sepatutnya dan tidak diasak dengan persoalan di luar daripada skop kurikulumnya.

Jadi, bagaimana agaknya murid perlu bersedia untuk berhadapan dengan kaedah penilaian buka buku ini?

Mengumpulkan bahan sumber pembelajaran

a) Biasakan diri dengan sumber pembelajaran - buku teks, rujukan, nota serta bahan-bahan pembelajaran yang digunakan. Ketahui skop soalan, topik serta rujukan utama yang perlu dirujuk.Ini dapat membantu pelajar mencari jawapan dan membuat rujukan dengan cekap dan tepat.

b) Buat nota ringkas dan fahami isi pembelajaran atau konsep bagi setiap topik. Ini aspek terpenting dalam kaedah ujian secara buku buku ini. Hal ini kerana soalan yang akan dikemukakan selalunya bersifat aplikasi dan penilaian. Justeru ia memerlukan pelajar menguasai isi pembelajaran sepenuhnya sebelum dapat menjawab soalan.

c) Penekanan terhadap konsep, istilah atau kata kunci bagi setiap topik pembelajaran. Gunakan pen berwarna-warni dan nota kecil yang boleh dilekat di halaman buku. Ini memudahkan pelajar untuk merujuk dan mengenal pasti konsep yang ditanya dalam soalan.

Pembacaan dan kefahaman topik

Kaedah penilaian begini bukan bermaksud murid tidak perlu ulang kaji pelajaran atau membaca. Sebaliknya pelajar dituntut untuk lebih faham dan menguasai sesuatu topik dalam memastikan pelajar dapat menjawab dengan baik dan tepat.

Justeru mereka seharusnya tetap mengulang kaji seperti biasa kerana pemahaman terhadap topik berkaitan membolehkan pelajar menghubungkaitkan idea, menilai dan memberi jawapan yang tepat dan mantap.

Semasa peperiksaan berlangsung

1) Susun bahan sumber pembelajaran

Sebelum bermula, susun dulu bahan rujukan sama ada buku teks, nota ringkas serta buku rujukan yang perlu digunakan di atas meja berdekatan dan mudah dicapai semasa sesi bermula.

2) Baca soalan dengan teliti

Baca kesemua soalan dengan teliti, kenal pasti konsep, istilah dan kata kunci yang pelajar biasa. Pelajar digalakkan untuk menjawab soalan yang anda tahu dahulu. Sesudah itu barulah beralih kepada soalan yang

memerlukan anda merujuk jawapan di dalam buku. Ini penting supaya semua soalan dapat dijawab dalam masa yang diperuntukkan.

3) Ingat, jangan salin sepenuhnya jawapan daripada buku teks atau rujukan. Hal ini disebabkan pelajar dituntut menganalisis dan menilai sesuatu situasi sebelum menjawabnya dengan kritis. Oleh itu, elakkan untuk menyalin jawapan atau fakta bulat-bulat daripada buku teks. Kaedah peperiksaan begini tidak hanya menilai pengetahuan dan kefahaman sebaliknya menguji kemampuan pelajar dalam menguasai sesuatu hasil pembelajaran.

Sebenarnya, kaedah penilaian begini memberi peluang kepada guru untuk menguji tahap penguasaan pelajar pada tahap yang lebih tinggi dan seterusnya mengasah pemikiran kritis mereka terhadap sesuatu permasalahan. Justeru kaedah peperiksaan buka buku sesuai untuk dilaksanakan dalam persekitaran pembelajaran masa kini yang lebih bersifat digital dengan segala maklumat boleh diperoleh di hujung jari.

Penulis dari Fakulti Pendidikan Universiti Malaya

Berita Harian X