Rabu, 16 Februari 2022 | 1:12pm
Barisan fasilitator yang menyertai Program MIFA 2022 terdiri daripada 25 pelajar UiTM cawangan kampus Rembau membabitkan pelajar dari SMK Pendeta Za’ba, Seremban, baru-baru ini. NSTP/Ihsan UiTM Kampus Rembau
Barisan fasilitator yang menyertai Program MIFA 2022 terdiri daripada 25 pelajar UiTM cawangan kampus Rembau membabitkan pelajar dari SMK Pendeta Za’ba, Seremban, baru-baru ini. NSTP/Ihsan UiTM Kampus Rembau
Fasilitator program MIFA 2022 UiTM Kampus Rembau merakam kenangan bersama warga SMK Pendeta Za’ba, Seremban, baru-baru ini. NSTP/Ihsan UiTM Kampus Rembau
Fasilitator program MIFA 2022 UiTM Kampus Rembau merakam kenangan bersama warga SMK Pendeta Za’ba, Seremban, baru-baru ini. NSTP/Ihsan UiTM Kampus Rembau

Program kesihatan mental sarat aktiviti interaktif

KUALA LUMPUR: Bagi memenuhi kehendak Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) ketika negara dilanda COVID-19, 25 pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau (N5MC1105F) menganjurkan Masscomm Interactive Futuristic Activities (MIFA 2022), secara maya, baru-baru ini.

Program yang dianjurkan secara dalam talian itu membabitkan 60 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendeta Za'ba, Seremban, bersama Awareness Against Suicide (AWAS).

Penolong Pengarah Program MIFA 2022, Faid Faris Roslan, berkata program itu diadakan bersempena sambutan Hari Kesihatan Mental pada 3 Januari setiap tahun yang berkonsepkan futuristik.

"Program ini dipilih berdasarkan penilaian yang dijalankan berkaitan tekanan pelajar yang mengikuti PdPR selama hampir dua tahun sebelum pembelajaran bersemuka dijalankan.

"Walaupun ia dijalankan secara dalam talian, program ini sarat dengan pelbagai aktiviti interaktif bagi membantu pelajar mengawal tahap tekanan mereka," katanya.

Program MIFA 2022 dilaksanakan sepenuhnya menggunakan platfom Google Meet. Ia belangsung bermula jam 8.30 pagi hingga jam 5 petang, membabitkan tiga sesi aktiviti interaktif.

Pada akhir program, tiga pemenang utama dan tiga peserta terbaik dipilih berdasarkan prestasi mereka sepanjang program berlangsung.

Faid Faris berkata, melalui program itu, ia bukan sahaja memberi keseronokan kepada pelajar tetapi dapat membina keyakinan diri dan mempelajari kemahiran komunikasi yang baik.

"Program ini turut menjadi platform kepada pelajar untuk bersaing secara sihat di antara satu sama lain.

"Semestinya juga, ia sebagai peluang 'berehat sebentar' dan santai sebelum mereka memulakan sesi persekolahan," katanya.

Beliau berkata, walaupun program itu adalah satu daripada projek jurusan yang diikuti, ia memberi kesan yang positif kepada penganjur.

"Menganjurkan program secara maya bukanlah satu perkara mudah, namun melihat kepada maklum balas yang diterima daripada pelajar sekolah, ini mmeberi satu kelegaan dan kepuasan kepada kami.

"Kami juga mempelajari bagaimana menguruskan sesuatu program dengan baik selaras Kursus Projek Professional (COM363) bagi pelajar semester akhir Diploma Komunikasi dan Media.

"Ia secara langsung, memupuk semangat kerjasama tinggi dalam kalangan organisasi selain dapat mengaplikasi kemahiran penyelasaian masalah dengan baik," katanya.

Beliau berharap dengan adanya pendedahan seperti program itu, lebih banyak pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengambil berat mengenai tahap tekanan yang dihadapi pelajar.

"Program ini juga mendapat sokongan padu daripada barisan penaja seperti ObsesswithDyan, AcuHealing, Cookys Chocojar, Lina Saha (Jamu Asam Kunyit) dan Thebakerslibrary," katanya.

Berita Harian X