Selasa, 15 Februari 2022 | 1:55pm

Peluang melanjutkan pelajaran lepasan SPM

BAGI yang ingin melanjutkan pengajian selepas selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), banyak persoalan memenuhi fikiran mereka. Hendak pilih bidang apa, belajar di mana dalam atau luar negara, berapa yuran pengajian dan bagaimana hendak mohon biasiswa.

Untuk perjalanan akademik yang lebih tersusun, sebaiknya anda mendapatkan maklumat awal mengenainya sama ada melalui pembacaan, kajian, perbincangan dengan guru atau kawan-kawan. Namun secara umum, terdapat beberapa jenis program pengajian yang ditawarkan untuk lepasan SPM.

1. Program Matrikulasi, Asasi, dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) adalah laluan terpantas untuk masuk ke universiti. Program Matrikulasi tersedia dalam tempoh satu atau dua tahun, manakala asasi hanya setahun sahaja. STPM pula memakan masa dua tahun.

Disebabkan Program Matrikulasi, Asasi dan STPM mempunyai tempoh masa pengajian yang pendek, sukatan pelajaran di dalam program begini juga adalah padat. Namun jika pelajar berjaya memperoleh keputusan baik, proses untuk meneruskan pengajian di dalam bidang dan universiti yang diminati akan menjadi lebih mudah.

2. Berbanding Matrikulasi, Asasi dan STPM pembelajaran peringkat diploma mengambil masa antara dua hingga tiga tahun. Diploma memberi pilihan pantas untuk pelajar masuk ke pasaran kerja sebaik tamat pengajian. Program diploma lazimnya memberikan pelajar latihan dari segi amali dan praktikal, justeru ia adalah kelebihan yang sangat berguna untuk memohon pekerjaan. Namun, jika pelajar mahu menyambung pengajian ke peringkat sarjana muda, peluang juga terbuka luas.

Hendak pilih kursus apa?

Setiap program pengajian menawarkan bidang pengajian atau jurusan tertentu. Bagi Program Matrikulasi, jurusan yang ditawarkan adalah sains, kejuruteraan dan perakaunan.

1. Jurusan sains terbahagi kepada tiga fokus iaitu sains hayat, sains fizikal, dan sains komputer. Jurusan kejuruteraan terbahagi kepada empat fokus iaitu awam, mekanikal, elektrik dan elektronik, serta kejuruteraan asas.

2. Jurusan perakaunan pula menawarkan dua fokus iaitu perakaunan dan perakaunan profesional.

3. Program Asasi pula ada ditawarkan dalam jurusan kejururawatan, teknologi maklumat, perubatan, sains kemanusiaan, undang-undang, seni bina, ekonomi dan pengurusan, biologi, farmasi, dan pergigian.

4. Jika mahu melanjutkan pengajian peringkat STPM pula aliran yang ditawarkan adalah sains, seni, sastera, sains sukan, dan agama.

5. Namun jika anda mahu melanjutkan pengajian peringkat diploma atau sijil, jurusan yang ditawarkan adalah pelbagai dan lebih luas. Bagaimanapun ia tertakluk pada fokus dan pengkhususan institusi pengajian itu sendiri. Pelajar boleh melayari laman sesawang institusi pengajian yang menawarkan program berkaitan untuk maklumat lebih terperinci.

Institusi awam atau swasta?

Program Matrikulasi ditawarkan dan dikelolakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sendiri. Yuran pengajiannya ditanggung kerajaan dan kemudahan asrama serta bantuan sara hidup turut disediakan untuk pelajar. Kolej Matrikulasi juga dibina hampir di seluruh negara. Hal ini berbeza dengan Program Asasi yang mana ia hanya ditawarkan oleh sejumlah kecil universiti sahaja. Program Matrikulasi ditawarkan hampir di semua universiti awam antaranya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Malaysia Sabah dan lain-lain.

Bagi program diploma dan sijil, ia ditawarkan di kolej kemahiran, politeknik selain universiti awam juga swasta. Antara institusi awam yang menawarkan program diploma dan sijil adalah Universiti Institut Teknologi MARA, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Institut Teknikal Jepun Malaysia (JMTI), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) juga kolej komuniti dan politeknik.

Selain institusi pengajian tinggi awam, pelajar juga boleh memilih menyambung pengajian di universiti swasta. Terdapat banyak universiti swasta di Malaysia yang menawarkan pelbagai program pengajian antaranya Universiti Teknologi Petronas, Universiti Tenaga Nasional dan Universiti Selangor. Semua permohonan ini oleh dibuat melalui UPUonline.com.

Selain itu, terdapat juga beberapa institusi pengajian tinggi antarabangsa yang mempunyai kampus cawangan di Malaysia seperti University of Nottingham, University of Monash, Curtin University of Technology dan banyak lagi. Senarai institusi pendidikan antarabangsa ini boleh disemak di portal rasmi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Bantuan kewangan bagaimana?

1. KPM menawarkan biasiswa kepada lepasan SPM tetapi terhad kepada profesion perguruan sahaja melalui Program Penghantaran Pelajar Cemerlang (PPC) dalam Bahasa Arab, Pengajian Islam, Pendidikan Khas, Mandarin dan Perancis di luar negara. Bantuan kewangan juga disediakan untuk pelajar peringkat sijil dan asasi di 12 universiti awam kepada mereka daripada keluarga B40.

2. Agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) turut menyediakan bantuan kewangan.

3. Pihak swasta seperti Yayasan Khazanah, Yayasan Bank Rakyat dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) turut menyediakan bantuan serupa.

4. Bantuan kepada pelajar kurang berkemampuan turut disediakan oleh pusat zakat, baitulmal selain yayasan negeri. Semua informasi berkaitan boleh anda peroleh dengan menghubungi pihak berkaitan melalui laman web.

Bagaimana menyambung pengajian ke luar negara

• Jika hendak belajar di luar negara terdapat dua saluran iaitu melalui JPA dan MARA

1. Kebanyakan biasiswa yang ditawarkan oleh JPA adalah berkaitan bidang perubatan dan kebanyakan universiti yang ditaja adalah di timur tengah.

2. Selain itu, JPA turut menawarkan Program Khas Jepun, Korea, Perancis, Jerman (JKPJ) bagi jurusan kejuruteraan dan teknikal, sains dan teknologi dan sains sosial.

3. MARA menyediakan biasiswa Skim Pelajar Cemerlang dan pinjaman pelajaran bagi pelajar cemerlang untuk menyambung pengajian di universiti terkemuka luar negara seperti Harvard University, University of Oxford dan University of Cambridge.

Universiti Pendidikan Sultan Idris

Berita Harian X