Selasa, 15 Februari 2022 | 1:37pm
Murid PPKI turut didedahkan dengan aktiviti kecergasan dan kesihatan.
Murid PPKI turut didedahkan dengan aktiviti kecergasan dan kesihatan.

Murid PPKI cemerlang

SEREMBAN: Kekurangan yang ada pada diri murid Program Pendidikan Khas (PPKI) Sekolah Kebangsaan Seremban 2A (SKS2A) di sini, tidak menghalang mereka mengharumkan nama sekolah dalam aktiviti kokurikulum.

Ini terbukti apabila empat murid PPKI sekolah berkenaan muncul juara dan naib juara pelbagai pertandingan peringkat daerah dan negeri sepanjang tahun 2021.

Pemangku Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas SKS2A, Yuhana Anom Md Yunos, berkata pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta bimbingan kemahiran yang diterima di sekolah jelas banyak membantu kejayaan mereka.

"Kami berbangga dengan keupayaan Muhammad Ammarrayyan Mohd Zukhilal, 12, muncul johan dalam pertandingan e-Kokurikulum Pendidikan Khas Peringkat Negeri Sembilan 2021 bagi acara Gajet Perkhemahan.

"Selain seorang lagi murid PPKI, Muhammad Ali Imran Mohd Nazri, 11, muncul naib johan Pertandingan Catur Online Peringkat Daerah Seremban 2021," katanya.

Tegas Yuhana Anim, dua lagi murid yang mengharumkan nama sekolah itu termasuklah murid Tahun Enam Muhammad Nasiruddin Muhammad Tauffik, 12, yang muncul johan e-Nilam Pendidikan Khas Peringkat Negeri Sembilan 2021.

Begitu juga dengan pencapaian rakan sebayanya, Laila Kaisara Mohd Khusairi, menjadi johan Tilawah Al-Quran Pendidikan Khas (Kategori SK-Perempuan) Peringkat Negeri Sembilan, baru-baru ini.

"Pencapaian itu membanggakan kerana walaupun secara umumnya mereka memiliki kekurangan dengan murid lain, tetapi hasil galakan, dorongan dan bimbingan serta sikap positif dimiliki, mereka masih boleh muncul cemerlang," katanya.

Katanya, ketika ini PPKI SKS2A mempunyai seramai 38 murid dari Tahun Satu hingga Tahun Enam dengan 10 orang guru.

"Di SKS2A, kami mempunyai dua program besar iaitu PPKI yang mana murid belajar bersama dalam kalangan murid pendidikan khas sahaja.

"Manakala yang kedua ialah Program Pendidikan Inklusif (PPI) iaitu murid diletakkan dalam kelas bersama-sama murid aliran perdana sama ada secara penuh, separa atau sosial.

"PPI ini bertujuan untuk memberi peluang murid berkeperluan khas untuk belajar bersama murid aliran perdana dalam usaha meningkatkan keyakinan diri mereka," katanya.

Sementara itu, Guru PPKI sekolah itu, Muhammad Muttaqiin Mohamad, berkata pihaknya turut menganjurkan Minggu Program Pendidikan Inklusif setiap tahun.

"Antara aktiviti yang diadakan ialah kuiz pendidikan khas untuk murid aliran perdana, pertandingan mencipta logo PPI dan wacana inklusif dengan memanggil pakar berpengalaman.

"Ia bagi berkongsi pengetahuan mengenai murid pendidikan khas dan PPI kepada warga pendidik, ibu bapa dan murid," katanya.

Berita Harian X