Selasa, 8 Februari 2022 | 1:54pm
Kerajaan Terengganu menaja lebih 500 pelajar mengikuti pengajian di universiti awam dalam negara sejak tiga tahun lalu. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
Kerajaan Terengganu menaja lebih 500 pelajar mengikuti pengajian di universiti awam dalam negara sejak tiga tahun lalu. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH

Terengganu salur RM15 juta biasiswa

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri menerusi Yayasan Terengganu sudah menyalurkan RM15 juta untuk tajaan pendidikan kepada 601 pelajar, sejak 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat, berkata daripada jumlah itu, 517 pelajar mengikuti pengajian di universiti awam dalam negara, manakala 84 pelajar mengikuti program pengajian di luar negara.

"Semua pelajar cemerlang lulusan Sijil Pelajaran Malaysia, Pengajian Asasi, Matrikulasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia ini menerima skim biasiswa bagi mengikuti pengajian peringkat persediaan dan ijazah pertama dalam pelbagai bidang kritikal seperti perubatan, pergigian, kejuruteraan, sains dan perakaunan.

"Setiap tahun, kerajaan Terengganu melalui Tabung Biasiswa Pelajar Cemerlang Negeri Terengganu memperuntuk sebanyak RM5 juta untuk membiayai pengajian pelajar cemerlang, bagi meneruskan pengajian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada tahun ini, buat pertama kalinya, Yayasan Terengganu menghantar tiga penerima Skim Pelajar Cemerlang peringkat ijazah ke Australia dengan nilai biasiswa berjumlah RM1.9 juta, bagi tempoh pengajian antara tiga hingga empat tahun.

"Pelan Induk Terengganu Sejahtera sentiasa mengutamakan pendidikan pelajar sebagai fokus kerajaan negeri untuk pembangunan modal insan. Semoga pemberian biasiswa ini akan meningkatkan lagi motivasi pelajar untuk terus cemerlang," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X