Khamis, 6 Januari 2022 | 7:37pm

UPM guna sistem solar hasilkan elektrik

KUALA LUMPUR: Universiti Putra Malaysia (UPM) bakal memiliki sistem solar fotovoltaik (PV) dengan kapasiti 16.18 MWp, sekali gus mampu menjimatkan RM114 juta bil elektrik universiti itu dalam tempoh 25 tahun.

Projek solar terbesar di universiti awam (UA) itu dilaksanakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi anak syarikat milik penuhnya GSPARX Sdn Bhd (GSPARX) dengan pelaburan membabitkan sebanyak RM45 juta dalam usaha meluaskan lagi ciri-ciri kelestarian UA itu.

Pemasangan sistem itu akan dimulakan pada hujung bulan ini dan dijangka siap pada Julai ini di 16 tapak termasuk di masjid, parkir, bumbung fakulti serta projek solar terapung iaitu Hidroponik-Aquavoltaic Bersepadu Skala Besar Pertama bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan modal insan.

Naib Canselor UPM, Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman, berkata pelaksanaan oleh TNB melalui GSPARX itu dilihat bukan sahaja untuk memenuhi hasrat penjimatan tenaga melalui skim Zero CAPEX malah ke arah menjalinkan kerjasama penyelidikan dan jaringan industri terutamanya bagi pembangunan modal insan dan pelaksanaan projek solar terapung.

Selain itu katanya, penggunaan pada bumbung-bumbung bangunan, sebahagian Pusat Tanggungjawab (PTJ) dijangka memperoleh manfaat melalui penyediaan lot parkir berbumbung dan dataran yang memberi kemudahan kepada staf UPM, pelajar dan orang ramai.

"Bil elektrik UPM mencecah sebanyak RM40 juta setiap tahun meliputi kampus Serdang serta Hospital Pengajar dan ini adalah satu jumlah yang besar perlu diperuntukkan pada setiap tahun daripada jumlah perbelanjaan mengurus universiti.

"Justeru pemasangan solar itu nanti dilihat dapat membantu pihak universiti menggunakan bumbung solar sebagai salah satu tenaga alternatif utama untuk menampung penggunaan tenaga elektrik harian di kampus ini.

"Ia juga bakal menjadi fasa baharu untuk UPM terus melangkah ke hadapan bagi mengharungi cabaran yang lebih mencabar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) di antara UPM, GSPARX dan TNB di Auditorium Jurutera Radin Umar, Fakulti Kejuruteraan UPM di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail; Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar.

Sementara itu, Hasan berkata, TNB menyokong penuh agenda kerajaan untuk mencapai pengurangan intensiti pelepasan karbon yang mana ia bertepatan dengan hala tuju kelestarian TNB untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang tahun 2050.

Katanya, hasrat itu dipacu komitmen mengurangkan intensiti pelepasan karbon sebanyak 35 peratus serta pengurangan sebanyak 50 peratus kapasiti penjanaan tenaga menerusi arang batu menjelang 2035.

"Justeru, menerusi projek kerjasama bersama GSPARX, ia melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap alam sekitar, selaras dengan aspirasi TNB untuk menjadi pembekal terunggul solusi tenaga di samping menjadi sebahagian daripada penyelesaian perubahan iklim.

"Selain itu, secara tidak langsung kerjasama ini mempamerkan kepercayaan UPM untuk bekerjasama dengan TNB dalam pemasangan panel solar di semua premis kampus UPM, Serdang tanpa sebarang kos kepada UPM," katanya.

Beliau berkata, kerjasama strategik itu juga bakal membuka lebih banyak potensi melangkau tenaga hijau di mana pihaknya bersedia untuk bekerjasama dari aspek penyelidikan, pemindahan teknologi dan juga peluang pekerjaan kepada graduan UPM yang berminat menceburi bidang Tenaga Boleh Baharu.

"Melalui pemasangan solar ini, UPM bakal menikmati penjimatan kos bil elektrik sebanyak RM114 juta untuk tempoh 25 tahun. Ini semua dicapai tanpa sebarang kos dari UPM.

"Malah sepanjang tempoh kontrak 20 tahun, segala aspek penyelenggaraan dan pemantauan ditanggung sepenuhnya oleh GSPARX," katanya

Hasan berkata, dari aspek alam sekitar pula, pemasangan panel solar itu mampu mengurangkan kadar tahunan 14,655 tan metrik karbon dioksida.

Katanya, ia adalah bersamaan dengan pemerangkapan gas rumah hijau oleh 242,320 batang pokok dalam tempoh 10 tahun atau mengelakkan pembebasan karbon dari 3,187 buah kenderaan dalam setahun.

"Ketika ini juga TNB dalam pelaksanaan pemasangan sistem solar PV dengan kapasiti 100Mwp dengan kos RM300 juta membabitkan milik kerajaan, premis perindustrian dan kediaman," katanya.

Sementara itu, Abdul Razak yang membaca teks ucapan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata pemasangan projek solar PV itu mampu menjimatkan bil elektrik kira-kira 50 hingga 60 peratus.

Katanya, penjimatan itu sekali gus dapat membantu pihak UA untuk mengekalkan kelestarian sumber kewangan di samping boleh menggunakannya untuk perkara lain yang lebih penting.

"Pada masa yang sama juga, pelaksanaan projek ini membuktikan komitmen dan pembabitan UA dalam agenda pembangunan tenaga diperbaharui seperti solar ini.

"Jika dilihat dari sudut yang lain pula, pelaksanaan projek solar PV ini secara tidak langsung menyokong inisiatif yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) atau PPPM(PT) di bawah Lonjakan 5, iaitu Kemampanan Kewangan," katanya.

Datuk Seri Abdul Razak Jaafar (tengah) menyaksikan Naib Canselor UPM, Profesor Dr Mohd Roslan Sulaiman (dua kiri) dan Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir Megat Jalaludin Megat Hassan (dua kanan) selepas menandatangani memorandum persefahaman disaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail (kiri) dan Pengerusi TNB Datuk Seri Hasan Arifin (kanan) ketika Majlis Menandatangani Perjanjian Supply Agreement with Renewable Energy (SARE) antara GSPARX Sdn Bhd dan UPM - Foto NSTP/Aziah Azmee
Datuk Seri Abdul Razak Jaafar (tengah) menyaksikan Naib Canselor UPM, Profesor Dr Mohd Roslan Sulaiman (dua kiri) dan Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir Megat Jalaludin Megat Hassan (dua kanan) selepas menandatangani memorandum persefahaman disaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail (kiri) dan Pengerusi TNB Datuk Seri Hasan Arifin (kanan) ketika Majlis Menandatangani Perjanjian Supply Agreement with Renewable Energy (SARE) antara GSPARX Sdn Bhd dan UPM - Foto NSTP/Aziah Azmee
Berita Harian X