Selasa, 21 Disember 2021 | 10:47am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Yakin, faham isu petua jawab soalan lisan

Ujian lisan menjadi sebahagian komponen peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menimbulkan kegelisahan bagi sesetengah pelajar yang tidak bersedia.

Berbanding peperiksaan bertulis, ujian lisan memerlukan keyakinan diri juga kefahaman isu bagi membolehkan pelajar lulus dengan cemerlang. Ada ketikanya walaupun murid tahu jawapan untuk soalan yang dikemukakan gugup dan gementar berlebihan menyebabkan mereka gagal menjawab dengan baik.

Sebenarnya, apabila bertutur perkara yang perlu dititikberatkan adalah penyampaian maklumat. Ini bermaksud setiap apa yang ingin disampaikan bukan sahaja meliputi kandungan berkaitan dengan topik yang diberikan tetapi juga menunjukkan tahap kefahaman dan penguasaan terhadap isu berkaitan.

Secara am dan kebiasaannya, pelajar boleh bertutur secara kasual bersama rakan namun apabila pertuturan itu menjadi sebahagian daripada penilaian, maka ramai yang gugup dan gementar. Hal ini menyebabkan kebanyakan murid tidak dapat menyampaikan maklumat dengan jelas dan terperinci.

Berikut adalah beberapa perkara yang boleh dilakukan bagi membina keyakinan diri dalam menduduki ujian lisan:

1. Membuat persediaan

Kenal pasti dan fahami format ujian. Ketahui bahagian ujian dan bilangan soalan serta jenis item di dalamnya. Ini dapat membantu pelajar memahami struktur soalan dan membolehkan mereka berlatih mengikut keperluan yang dikehendaki serta dapat memenuhi komponen yang dinilai. Berdasarkan pengetahuan itu, pelajar juga dapat membina strategi dan menyusun masa dan cara penyampaian mengikut komponen ujian. Selain daripada itu, pelajar perlu tahu aspek yang ditaksir dan cara pemarkahan diberikan. Ia biasanya sudah akan diterangkan oleh guru sebagai sebahagian langkah persediaan menjawab peperiksaan. Maklumat ini dapat membantu pelajar mengenalpasti perkara yang perlu diserlahkan ketika menjawab ujian lisan mengikut bahagian dan soalan ujian.

Fahami juga struktur ujian meliputi kefahaman, aplikasi, analisis, dan penilaian. Ini adalah aspek yang dinilai di dalam ujian lisan dan dizahirkan melalui soalan. Oleh yang demikian, pelajar perlu benar-benar fahami jenis soalan dan ketahui cara untuk memberikan jawapan terbaik terhadap soalan diberikan.

Berlatihlah untuk bertutur secara bersendirian mahupun bersama rakan. Latihan ini dapat membantu membiasakan diri dengan format ujian tertentu dan membuatkan diri anda lebih yakin. Latihan perlulah dilakukan secara berperingkat dan boleh dilakukan beberapa kali sehingga pelajar berasa cukup yakin. Berlatih bersama rakan juga dapat memberikan lebih faedah kepada pelajar. Ia dapat membantu pelajar membuang rasa malu apabila bertutur, juga membolehkan pelajar berkongsi serta bertukar-tukar pendapat.

2. Pembacaan

Banyakkan membaca terutama membabitkan topik yang digariskan di dalam silibus. Kebolehan bertutur banyak membabitkan idea dan perkaitan dengan pengetahuan semasa atau am. Tabiat membaca membantu pelajar mempertingkatkan pengetahuan, menghubungkaitkan idea, menilai dan memberi pandangan dengan matang dan mantap berkaitan topik yang diutarakan.

3. Peta minda

Penggunaan peta minda dapat membantu pelajar dalam menyusun atur idea dan memberi gambaran perkaitan antara satu topik, sub topik, butiran sokongan, serta contoh bagi membantu sesuatu olahan dan penjelasan. Peta minda juga bertindak sebagai nota ringkas bagi membolehkan pelajar mengulangkaji dan mengingati idea bagi tujuan lisan.

Kenal pasti format soalan bagi memastikan soalan lisan dapat dijawab dengan baik.- Foto hiasan
Kenal pasti format soalan bagi memastikan soalan lisan dapat dijawab dengan baik.- Foto hiasan

4. Kesihatan

Ketika membuat persiapan menghadapi peperiksaan, pelajar perlu memastikan diri berada dalam keadaan sihat (mental dan fizikal). Tahap kesihatan akan memberi kesan kepada individu dalam menghadapi peperiksaan. Salah satu punca seseorang itu gemuruh adalah berikutan kurang persediaan, kurang rehat, dan tidak sihat. Jadi sebelum menduduki sesuatu ujian, pelajar perlu memastikan untuk mendapatkan rehat secukupnya, sihat tubuh badan, supaya fikiran dan perasaan tenang untuk menghadapi ujian yang dijadualkan.

5. Bertenanglah

Pastikan diri sentiasa tenang pada hari ujian. Elak membuat perbandingan bersama pelajar lain di waktu terdekat dengan ujian kerana ia boleh membuatkan anda cemas dan panik. Perasaan sebegini juga akan membuatkan seseorang itu mudah lupa. Oleh yang demikian, pelajar perlu cuba untuk bertenang. Salah satu cara adalah melalui latihan atau teknik pernafasan. Terdapat pelbagai teknik pernafasan yang boleh dipelajari bagi membantu mengatasi perasaan cemas atau panik.

6. Teknik asas pertuturan

Pelajar perlu ketahui teknik asas pertuturan. Antara teknik asas pertuturan adalah kejelasan. Kejelasan diperoleh melalui kekuatan suara, sebutan yang tepat, dan idea yang tersusun. Pelajar perlu pastikan suara cukup kuat untuk didengari oleh pentaksir. Nada juga memainkan peranan bagi memberi ekspresi dan mood mengikut konteks penyampaian. Pastikan juga kelajuan sebutan juga diberi perhatian kerana jika terlalu laju, sukar bagi pentaksir mengikuti dan memahami butir pertuturan.

Persediaan diri dalam menghadapi ujian lisan sangat penting bagi memastikan proses menjawab soalan berjalan dengan lancar. Adalah mustahak setiap pelajar untuk bertenang dan bersedia sebelum sesi ujian dijalankan.

Penulis adalah Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya

Berita Harian X