X
Sabtu, 4 Disember 2021 | 9:02am
Universiti Malaysia Sabah (UMS)
Universiti Malaysia Sabah (UMS)

UMS anjur tiga majlis konvokesyen tahun depan

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) merancang mengadakan tiga majlis konvokesyen pada tahun depan bagi meraikan pelajar yang berjaya menamatkan pengajian pada tahun lalu, tahun ini dan tahun depan.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof Dr Rasid Mail, berkata Majlis Konvokesyen Ke-22 untuk pelajar yang menamatkan pengajian pada 2020 dijadual diadakan pada Mac 2022.

Katanya, ia kemudian diikuti Majlis Konvokesyen Ke-23 pada Jun 2022 untuk graduan yang tamat pengajian tahun ini dan Majlis Konvokesyen Ke-24 pada November 2022 untuk graduan yang dilahirkan tahun depan.

Bagi graduan yang tamat pengajian tahun lalu, katanya setakat ini hampir semua daripada 4,639 graduan prasiswazah dan pascasiswazah yang diisytiharkan Canselor UMS pada 30 Disember 2020 sudah menerima skrol dan transkrip keputusan masing-masing.

"Satu berita gembira untuk graduan yang tamat pengajian pada tahun lalu, UMS merancang untuk mengadakan majlis istiadat konvokesyen untuk mereka pada Mac 2022.

"Penangguhan majlis ini yang sepatutnya dilaksanakan pada November 2020 disebabkan halangan dan isu keselamatan kesihatan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

"Jika keadaan mengizinkan, majlis istiadat konvokesyen bagi graduan 2022 pula akan dilaksanakan pada November tahun depan, sekali gus menjadikan tiga majlis konvokesyen diadakan UMS pada tahun depan," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, bagi tahun ini, seramai 4,405 pelajar daripada pelbagai bidang kepakaran, termasuk 521 pelajar Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dijangka menamatkan pengajian.

Bagi pelajar peringkat prasiswazah tahun ini, katanya dijangka 3,663 orang akan menerima skrol ijazah sarjana muda, di samping 134 orang peringkat diploma dan 87 orang menerima Diploma Pascasiswazah.

Berita Harian X