Selasa, 30 November 2021 | 10:28am
Sebahagian pelajar yang menyertai diskusi mengenai umrah dan haji dalam program Galeri Perdana.
Sebahagian pelajar yang menyertai diskusi mengenai umrah dan haji dalam program Galeri Perdana.

Diskusi, praktis haji bantu murid lebih faham

Labuan: Bagi meningkatkan kefahaman murid mengenai ibadah umrah dan haji, Panitia Pendidikan Islam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara di sini melaksanakan program dikenali sebagai Galeri Perdana.

Program itu yang berkonsepkan perbincangan selain memberi ruang kepada murid untuk melalui pengalaman berpakaian ihram, bertahlul dan melaksanakan tawaf.

Ketua Panitia Pendidikan Islam SMK Mutiara, Siti Sarah Abdul Majid, berkata idea melaksanakan laluan perdana itu dicetuskan oleh pengetua sekolah, Yahya Ahmad Puteh yang mahu murid lebih berupaya memahami ilmu disampaikan guru.

"Penekanan program ini ditumpukan kepada rukun haji dan umrah selain mereka merasai sendiri bagaimana cara kita menunaikan umrah dan haji.

"Program ini diharap membantu murid mengingat dengan baik dan berkesan,"katanya.

Program berkenaan membabitkan seramai 160 orang pelajar Tingkatan 5 SMK Mutiara terbabit yang terdiri daripada enam buah kelas manakala, 32 orang guru turut terbabit dalam menjayakannya.

Katanya, pendekatan sebegini lebih praktikal dan menepati Program Transformasi Sekolah iaitu sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan Malaysia meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah yang berkualiti tinggi.

"Pembabitan guru pula selain sebagai perancang tetapi juga bertindak sebagai fasilitator sepanjang aktiviti berlangsung dengan memberi bimbingan kepada pelajar," katanya.

Siti Sarah berkata, pihaknya menerima maklum balas yang positif daripada pelajar memandangkan tempoh menjalankan Pembelajaran dan Pengajaran di rumah (PdPR) agak lama.

Walaupun dijalankan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) di sekolah, pelajar tetap memberikan kerjasama yang begitu baik dan apa yang penting tegas Siti Sarah, mereka memahami segala maklumat dan ilmu pengetahuan melalui galeri perdana ini.

Sementara itu, Yahya berkata, pihaknya melihat usaha itu sebagai cara melatih pelajar untuk berkomunikasi dengan berkesan melalui proses soal jawab.

"Ia juga bertujuan melatih kemahiran mendengar dan membantu pelajar untuk mengaplikasi kemahiran aras tinggi seperti menganalisis, menilai selain memupuk semangat kerjasama dan pembinaan sepasukan," katanya.

Berita Harian X