Isnin, 22 November 2021 | 10:38am
Guru menyambut murid dengan mematuhi SOP. - Foto e-mel
Guru menyambut murid dengan mematuhi SOP. - Foto e-mel

Guru berbusana Melayu sambut murid

MANJUNG: Guru Sekolah Kebangsana Beruas membuat kejutan kepada murid-murid pada hari pertama pembukaan sekolah hari ini dengan memakai pakaian tradisional Melayu, hiasan bunga manggar dan paluan kompang menyambut kehadiran anak didik.

Guru-guru lelaki memakai baju Melayu dan bertanjak, manakala guru-guru perempuan berpakaian songket.

Guru Besar, Shahril Othman, berkata idea untuk menonjolkan kemeriahan dan menaikkan semangat murid ke sekolah tercetus ketika mesyuarat guru, sebelum pembukaan sekolah minggu lalu.

Katanya, guru-guru membuat persiapan dalam masa seminggu dengan berlatih bermain kompang, menyiapkan bunga manggar dan kelengkapan pakaian songket.

"Saya bersyukur kerana mempunyai guru-guru dan kaki tangan sekolah yang sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam setiap program yang dirancang.

"Kami berharap aura positif yang ditonjolkan pada hari pertama persekolahan akan menaikkan semangat murid untuk belajar di dalam kelas," katanya di sini hari ini.

Shahril berkata, beberapa ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga menyambut kehadiran murid hari ini.

Guru lelaki memalu kompang untuk menceriakan suasana hari pertama persekolahan. - Foto e-mel
Guru lelaki memalu kompang untuk menceriakan suasana hari pertama persekolahan. - Foto e-mel

Berita Harian X