Rabu, 30 September 2020 | 7:46pm
Prof Mohammad Shatar (dua dari kanan) menyerahkan replika cek simbolik kepada sumbangan dermasiswa kepada Nor Atikah bagi membiayai pengajiannya - Foto NSTP/Ihsan Noorzali
Prof Mohammad Shatar (dua dari kanan) menyerahkan replika cek simbolik kepada sumbangan dermasiswa kepada Nor Atikah bagi membiayai pengajiannya - Foto NSTP/Ihsan Noorzali

UPSI bantu pengajian penuntut baharu Nor Atikah

TANJUNG MALIM : Impian seorang penuntut, Nor Atikah Shaimin, 20, dari Kampung Kuau, Repek, Bachok, Kelantan untuk melanjutkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tercapai apabila universiti itu membantunya mengatasi masalah kewangan.

UPSI membantu Nor Atikah yang mendaftar pada 28 September lalu di Kampus Sultan Azlan Shah untuk melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu.

Berikutan masalah kewangan yang dihadapi, Pusat Wakaf, Endowmen, Khairat dan Sedekah (WEZAS) UPSI memberi dermasiswa sebanyak RM29,600 untuk menampung pengajiannya selama lapan semester.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata UPSI berharap Nor Atikah akan belajar dengan sempurna dan mencapai kecemerlangan sepanjang pengajian.

"UPSI akan membantu mana-mana penuntut yang mengalami masalah kewangan dan memerlukan supaya mereka dapat meneruskan pengajian seperti yang lain," katanya.

Pengarah WEZAS, Prof Madya Dr Mohd Abdul Nasir Abd Latif, ketika ditemui berkata dermasiswa yang dianugerahkan kepada Nor Atikah itu adalah sebahagian daripada skim yang ditawarkan oleh pihak WEZAS kepada warga UPSI.

Katanya, ia adalah sebahagian daripada sumbangan kepada asnaf yang disalurkan oleh Bank Rakyat yang distrukturkan semula untuk diagihkan dalam bentuk dermasiswa yang diberikan kepada penuntut UPSI yang menghadapi masalah kewangan.

"WEZAS mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Bank Rakyat atas keprihatinan organisasi korporat itu komited menyumbang kepada WEZAS untuk membantu warga UPSI menerusi skim yang ditawarkan bagi meringankan beban pelajar dalam menyediakan keperluan sepanjang pengajian.

Sebelum ini, katanya, UPSI menerusi WEZAS menganugerahkan lebih 400 dermasiswa kepada penuntutnya.

Nor Atikah menempuh kegetiran hidup menjaga ibunya, Nor Hayati Osman, 49, yang dipotong kaki kiri akibat kencing manis kronik dan abangnya, Muhammad Akmal Hidayat, 21, adalah Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal (bongkok).

Nor Atikah yang memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.67 pada peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) mengucapkan terima kasih kepada pengurusan tertinggi UPSI serta WEZAS yang bersimpati dengan nasibnya.

"Saya berazam untuk belajar dengan rajin demi memenuhi harapan keluarga serta mengubah masa depan ," katanya.

Berita Harian X