Khamis, 24 September 2020 | 2:02pm
Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani. - Foto ihsan UUM
Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani. - Foto ihsan UUM

OYAGSB UUM berjaya disenaraikan dalam QSWUR: Global MBA 2021

SINTOK: Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), Universiti Utara Malaysia (UUM), disenaraikan dalam QS World University Rankings (QSWUR): Global MBA 2021 untuk julung kali.

Kejayaan itu menyaksikan OYAGSB berada di kedudukan ke-201+ pada peringkat dunia dan tangga ke-27 terbaik di Asia.

Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani, berkata penyenaraian OYAGSB itu adalah pengiktirafan terhadap sekolah siswazah berkenaan di persada dunia.

"OYAGSB memiliki nama dan kualiti yang tersendiri, justeru saya yakin ia mampu membawa nama UUM ke tahap lebih tinggi lagi," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ahmad Bashawir berkata, pencapaian itu adalah hasil usaha keras seluruh warga UUM, terutama OYAGSB sendiri, untuk mencapai tahap membanggakan.

Katanya, beliau berharap momentum itu dapat diterus dan dikekalkan agar UUM berjaya merealisasikan misi untuk memastikan OYAGSB berstatus Triple Crown serta Top Business School.

Berita Harian X