Rabu, 23 September 2020 | 9:21am
Pensyarah Kolej Komuniti Kuantan dengan produk pes “Sweet 40 days’ yang dihasilkan dalam pertandingan di Temerloh. - Foto NSTP/MOHD RAFI MAMAT
Pensyarah Kolej Komuniti Kuantan dengan produk pes “Sweet 40 days’ yang dihasilkan dalam pertandingan di Temerloh. - Foto NSTP/MOHD RAFI MAMAT

Pensyarah TVET uji kreativiti

TEMERLOH: Sebanyak 370 pasukan menyertai Pertandingan Inovasi Pensyarah TVET 2020 (PERISA 20) peringkat kebangsaaan.

Pengarah Kolej Komuniti Temerloh, Suhairi Ismail, berkata pertandingan bertema inovasi ke arah kecemerlangan pendidikan membabitkan empat kategori iaitu teknologi kejuruteraan, teknologi maklumat, sains sosial serta pembelajaran dan pengajaran.

Katanya, PERISA 20 dianjurkan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti dan disertai pensyarah kolej komuniti dan politeknik, kolej vokasional dan institut kemahiran belia negara (IKBN).

Katanya, pada pusingan akhir sebanyak 116 pasukan layak bersaing untuk meraih kemenangan setiap kategori.

"Penganjuran PERISA 20 membuka platform peringkat kebangsaan yang dapat mengembangkan potensi kreatif serta inovatif dalam kalangan pensyarah.

"PERISA 20 menjadi gelanggang golongan pensyarah dan tenaga pengajar membuktikan kebolehan masing-masing menghasilkan inovasi yang mampu diketengahkan seterusnya berpeluang untuk dikomersialkan," katanya.

Suhairi berkata demikian pada majlis penutup PERISA 20, semalam.

Beliau berkata, bersesuaian dengan normal baharu, pada peringkat awal saingan pasukan perlu menghantar video, kertas dan poster inovasi untuk penilaian juri dan 10 inovasi setiap kategori layak ke pertandingan akhir.

Katanya johan keseluruhan diraih oleh gandingan Kolej Komuniti Kelana Jaya dan Kolej Komuniti Bagan Datuk menerusi aplikasi interaktif pengujian komponen elektronik, manakala persembahan terbaik dimenangi oleh Kolej Komuniti Manjung.

Berita Harian X