Isnin, 14 September 2020 | 1:20pm
Siti Saripah Jazuli dibawa dengan tandu oleh murid Pendidikan Khas pada majlis perpisahan sempena persaraannya - Foto NSTP/Hassan Omar
Siti Saripah Jazuli dibawa dengan tandu oleh murid Pendidikan Khas pada majlis perpisahan sempena persaraannya - Foto NSTP/Hassan Omar

Selamat tinggal Cikgu Siti Saripah

ALOR GAJAH: Air mata 31 pelajar Pendidikan Khas mengiringi persaraan guru yang amat disayangi mereka, Siti Saripah Jazuli, selepas 12 tahun menabur bakti di Sekolah Menengah Kebangsaan Hang Kasturi (SMKHK), Masjid Tanah.

Siti Saripah, 58, diraikan dalam majlis perpisahan dan mengucapkan selamat tinggal kepada 31 murid keperluan khas dan 731 pelajar lain serta 83 guru di situ.

Bagi menghargai jasanya, guru dan pelajar sekolah itu meraikan persaraan beliau dengan menyediakan kereta kuda yang membawa Siti Saripah mengelilingi persekitaran sekolah sebelum diarak di atas tandu yang direka khas untuk majlis itu.

Sejurus tiba di dewan terbuka sekolah berkenaan dengan menaiki kereta kuda yang ditarik kuda dinamakan 'Mary,' Siti Saripah diarak dengan menaiki tandu oleh empat pelajar Pendidikan Khas.

Turut hadir, Pengetua, Noridah Abdul Rahim dan wakil dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah.

Seramai 31 pelajar Pendidikan Khas berusia antara 13 hingga 18 tahun yang dikategorikan sebagai pelajar kefungsian rendah dan sederhana tidak dapat menahan air mata apabila wakil mereka, Mohd Jamali Dolmat, 17, berucap bagi menyampaikan penghargaan kepada guru terbabit.

Siti Saripah yang ditemui selepas itu berkata, beliau amat teruja diraikan dalam majlis yang disifatkannya sebagai amat mengharukan dan akan sentiasa diingati.

"Saya sangat berbangga apabila pelajar mampu membaca dan menulis walaupun pada awalnya mereka tidak mengenal sebahagian besar huruf.

"Dengan didikan yang tidak mengenal erti putus asa, Alhamdullillah mereka mampu berkomunikasi dengan adab yang baik dan mengingati saya walaupun sudah bekerja serta berumah tangga," katanya.

Beliau berkata, ibu bapa tidak harus berputus asa jika anak mereka mengalami masalah pembelajaran kerana guru Pendidikan Khas sentiasa berusaha mengasah minda anak mereka supaya mampu mengenal huruf dan membaca serta menulis.

Siti Saripah yang memiliki dua anak masing-masing berusia 17 dan 19 tahun itu sudah kehilangan suami akibat barah paru-paru pada 2016.

Berita Harian X