Selasa, 1 September 2020 | 3:56pm
Muhammad Yunus mengasaskan Grameen Bank dan digelar Bapa Mikrokredit.
Muhammad Yunus mengasaskan Grameen Bank dan digelar Bapa Mikrokredit.

Pemenang Hadiah Nobel Keamanan dilantik Canselor AIU

ALOR SETAR: Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) melantik pengasas Grameen Bank dan penerima Hadiah Nobel Keamanan, Prof Muhammad Yunus sebagai Canselor pertamanya.

Naib Canselor AIU, Datuk Dr Abd Aziz Tajuddin, berkata Muhammad Yunus mempunyai pengetahuan, kepakaran dan pengalaman luas dalam membangunkan perniagaan sosial sehingga diiktiraf dunia.

Katanya, Muhmmad Yunus turut dilantik sebagai penasihat, pakar rujuk dalam lebih 130 jawatankuasa dan suruhanjaya di peringkat nasional dan antarabangsa.

"Beliau dianugerahkan ijazah kehormat doktor falsafah (PhD) daripada 57 universiti dan 132 anugerah berprestij lain di peringkat dunia.

"Pada 2006, Jawatankuasa Nobel Norway menganugerahkan Hadiah Nobel Keamanan kepada Muhammad Yunus dan Grameen Bank atas usaha mewujudkan pembangunan ekonomi dan sosial untuk masyarakat bawahan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Abd Aziz berkata, Muhammad Yunus turut mengasaskan Grameen Bank dan digelar Bapa Mikrokredit, iaitu gerakan ekonomi yang membantu berjuta-juta keluarga di seluruh dunia untuk keluar dari kemiskinan.

"Beliau juga memperkenal perniagaan sosial dan sejak 2006 beliau memberi tumpuan untuk menyebar dan melaksanakan konsep berkenaan di serata dunia.

"Pelantikan beliau sebagai Canselor AIU sejajar dengan falsasah, visi dan misi penubuhan AIU untuk membangunkan graduan atau pemimpin yang boleh menyesuaikan diri, seimbang dan holistik," katanya.

Muhammad Yunus dilahirkan Jun 1940 di Chittagong, Bangladesh, sebelum melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat (AS) pada 1965.

Pemegang PhD dalam bidang ekonomi dari Universiti Vanderbilt, AS itu turut diterima sebagai Felo Eisenhour pada 1984 dan Felo Kanan, The Institute of Mediterranean Studies, Universita della Svizzera Italiana, Lugano, Switzerland pada 2000.

Berita Harian X