Isnin, 17 Ogos 2020 | 3:43pm
Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman
Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman

Prof Dr Mohd Roslan dilantik Naib Canselor UPM

KUALA LUMPUR: Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) baharu berkuat kuasa 1 September 2020 hingga 31 Ogos 2023.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata pelantikan Mohd Roslan, 51, dibuat atas pengalaman luas dalam bidang pengurusan hal ehwal pelajar serta peranannya memastikan pelbagai program dilaksanakan dengan baik.

"Dengan pengalaman beliau, pelbagai program dilaksanakan dengan objektif utama ke arah memperkasakan budaya kesukarelawanan, aspek kepemimpinan dan kemahiran insaniah (soft skills) pelajar.

"Beliau juga berhasil menerbitkan lebih daripada 200 hasil penyelidikan dalam jurnal berimpak tinggi.

"Saya percaya dengan pelantikan ini, beliau dapat meneruskan kesinambungan pencapaian dan sumbangannya dalam mengekalkan kegemilangan UPM dan seterusnya mengembalikan bidang pertanian berteknologi tinggi sebagai bidang tujahan utama UPM," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Mohd Roslan berkelulusan Ijazah Doktor Perubatan Veterinar dari UPM pada 1994 dan seterusnya melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran dalam bidang Fisiologi Sistem Saraf di The University of Edinburgh, Scotland United Kingdom pada 1999.

Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM selama hampir tiga tahun serta menggalas jawatan pentadbiran dan akademik yang lain, antaranya Pengerusi Jemaah Pengetua Kediaman Pelajar UPM dan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM.

Beliau juga dipertanggungjawabkan untuk menjalankan fungsi (tugas) sebagai Naib Canselor UPM sejak 1 Julai 2020.

Berita Harian X