Ahad, 16 Ogos 2020 | 11:50pm
Presiden Akademi Sains Malaysia, Prof Datuk Dr Asma Ismail (kiri) berbual-bual dengan Alimuddin menerusi sidang video. - Foto Akademi Sains Malaysia
Presiden Akademi Sains Malaysia, Prof Datuk Dr Asma Ismail (kiri) berbual-bual dengan Alimuddin menerusi sidang video. - Foto Akademi Sains Malaysia

Prof Alimuddin terima Anugerah Sains Mahathir ke-11

KUALA LUMPUR: Kejayaan saintis Kolej Universiti London, Prof Sir Alimuddin Zumla dalam dalam bidang perubatan tuberkulosis (TB) dan HIV menjadikan beliau dipilih sebagai penerima Anugerah Sains Mahathir ke-11, iaitu anugerah Sains antarabangsa paling berprestij di Malaysia.

Panel Akademi Sains Malaysia memilih Alimuddin berdasarkan kejayaannya dalam bidang penyakit berjangkit, termasuk menyumbang kepada pembangunan garis panduan kesihatan awam Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di seluruh dunia untuk TB dan HIV.

Dengan pemilihannya sebagai penerima Anugerah Sains Mahathir ke-11, Alimuddin yang ibunya berasal dari negara ini menerima hadiah pingat emas, sijil dan wang tunai AS100,000.

Alimuddin berkata, pemilihan ini disifatkan sebagai satu penghormatan yang sangat besar berikutan hasil kerjanya diiktiraf oleh badan ilmiah yang mempunyai reputasi cukup hebat di rantau Asia.

"Ia satu penghormatan buat saya dipilih sebagai penerima anugerah ini dan berharap rakan seperjuangan lain akan membabitkan diri dalam lebih banyak penyelidikan memberi impak untuk membangunkan bidang tropika sama ada dalam bidang pertanian, seni bina, kejuruteraan, perubatan atau sumber semulajadi.

"Saya percaya bahawa impak terhadap komuniti perlu menjadi pendorong bagi setiap penyelidikan dan apabila diiktiraf ini insentif yang baik untuk terus bertahan dalam perubatan tropika ini.

"Saya gembira berpeluang memperkasa generasi saintis," katanya melalui sidang video, di sini.

Alimuddin terkenal dalam bidang penyakit berjangkit ini turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa negara termasuk institusi dari Afrika, Timur Tengah, Eropah dan Amerika mengenai program penyelidikan dan latihan bersma amengenai TB dan HIV/AIDS.

Berita Harian X