Rabu, 12 Ogos 2020 | 3:25pm
Syed Zulkafli mengayuh beca dalam majlis persaraan Ayof, hari ini. - Foto NSTP/ABNOR HAMIZAM
Syed Zulkafli mengayuh beca dalam majlis persaraan Ayof, hari ini. - Foto NSTP/ABNOR HAMIZAM

Guru suku Temuan bersara

JELEBU: Selepas lebih 35 tahun menabur jasa, guru Orang Asli Ayof Ekal, 58, bersara secara pilihan, hari ini.

Beliau daripada suku Temuan berkhidmat di dua sekolah sahaja di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Lenjan, Kuala Lipis dan sekolah sekarang SK Putra, Jelebu.

Ayof berkata, sebelum menjadi guru dia pernah berkhidmat sebagai pembantu pejabat di Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), sebelum dilantik menjadi tenaga pengajar di Pos Lenjan pada 1985.

"Di sana, saya bukan sahaja menjadi tenaga pengajar tetapi turut menjadi pegawai keselamatan di JAKOA kerana ketika itu negara masih berdepan ancaman komunis.

"Saya perlu memastikan masyarakat Orang Asli Pos Lenjan tidak terpengaruh dengan ideologi komunis," katanya dalam majlis persaraan hari ini.

Dalam majlis hari ini, Ayof yang juga Tok Batin Kampung Parit Gong, Pertang diraikan bersama isteri Zaleha Bahpat, 52.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Pertang, Noor Azmi Yusof dan Guru Besar, Syed Zulkafli Syed Abdul Karim.

Ayof berkata, beliau mengikut kursus dalam cuti di Maktab Perguruan Teknik, Cheras mulai 1987 hingga 1990.

Ketika menjalani latihan praktikal di SK Clifford, Kuala Lipis, katanya, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin berada dalam darjah lima kelasnya.

Ayof berkata, beliau ditawarkan kenaikan pangkat sebagai guru penolong kanan sebanyak dua kali tetapi menolak kerana mahu terus mengajar.

"Saya ada komitmen mendidik, apatah lagi lebih 90 murid di sekolah ini ialah murid Orang Asli yang perlu diberi perhatian supaya tidak ketinggalan dalam pendidikan," katanya.

Berita Harian X