Selasa, 11 Ogos 2020 | 11:35am
Bekas pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) Alor Setar yang menyertai Konvoi Bermotosikal Jelajah Malaya 2020 sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 - Foto NSTP NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Bekas pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) Alor Setar yang menyertai Konvoi Bermotosikal Jelajah Malaya 2020 sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 - Foto NSTP NSTP/Noorazura Abdul Rahman

Konvoi Merdeka menemukan bekas pelajar KSAH

ALOR SETAR: Seramai 20 bekas pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) di sini memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 dengan menyertai Konvoi Bermotosikal Jelajah Malaya 2020.

Ketua konvoi Persatuan Bekas Pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid (SAHOCA), Ahmad Zahir Hamzah, berkata aktiviti konvoi bermotosikal itu sudah memasuki tahun keempat selepas kali pertama dianjurkan pada 2017.

Katanya, konvoi tahun ini membabitkan 20 peserta daripada pelbagai kumpulan bekas pelajar serta disertai dua bekas guru, Shafferi Rejab, 64, dan Mazlan Abdullah, 62.

"Konvoi ini bertujuan mengeratkan hubungan antara bekas pelajar, walaupun sudah lama meninggalkan kolej dan apa yang lebih menggembirakan adalah penyertaan dua bekas guru yang pernah mengajar kami.

"Aktiviti berkonvoi ini dapat menemukan kami setahun sekali kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya dan komitmen luar," katanya ketika ditemui.

Majlis pelancaran konvoi disempurnakan Pengetua KSAH, Yusri Bappu.

Sementara itu, antara yang menyertai konvoi adalah bekas pelari kebangsaan, Romzi Bakar, yang mula mewakili negara dalam Sukan SEA 1991 ketika berusia 16 tahun dan memenangi pingat emas pada Sukan SEA Jakarta 1997.

Menurut Romzi, 45, beliau mula bersekolah di KSAH pada 1988 hingga 1994 dan banyak kenangan manis dilalui termasuk dibimbing guru agar mengimbangi antara pelajaran dan sukan.

"Saya rasa terpanggil menyertai konvoi bersama rakan sekolah kerana mahu menunjukkan rasa kebersamaan serta semangat cintakan negara.

"Konvoi selama lima hari bermula 19 hingga 23 Ogos itu akan turut melawat bekas pelajar KSAH serta menyampaikan sumbangan kepada mereka yang kurang bernasib baik sepanjang perjalanan nanti," katanya yang menjadi pelari kebangsaan antara 1996 hingga 2001.

Berita Harian X