Jumaat, 3 Julai 2020 | 12:17am
Peralatan sokongan pembelajaran seperti mesin Braille boleh dibawa pulang untuk kegunaan di rumah bagi Murid Berkeperluan Khas (MBK). - Foto fail NSTP
Peralatan sokongan pembelajaran seperti mesin Braille boleh dibawa pulang untuk kegunaan di rumah bagi Murid Berkeperluan Khas (MBK). - Foto fail NSTP

Murid cacat penglihatan boleh bawa balik mesin Braille

KUALA LUMPUR: Ibu bapa atau penjaga boleh memasuki kawasan sekolah dengan kenderaan untuk menghantar Murid Berkeperluan Khas (MBK) yang tidak berupaya berjalan kaki.

Selain itu, peralatan sokongan pembelajaran seperti mesin Braille boleh dibawa pulang untuk kegunaan di rumah bagi MBK yang dijadualkan belajar dengan pemantauan oleh ibu bapa.

Garis Panduan Pengurusan MBK menetapkan sekolah boleh melaksanakan kaedah penggiliran kehadiran MBK sekiranya bilik tidak dapat menampung kehadiran semua murid, selepas mengambil kira penjarakan sosial.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam garis panduan itu juga menggariskan setiap bilik pengajaran dan pembelajaran (PdP) bergantung kepada keluasan ruang dengan mengambil kira penjarakan sosial.

Guru dan Pembantu Pengurusan Murid (PPM) terbabit secara langsung dengan MBK kurang upaya penglihatan kategori B1 (kontak rapat) semasa sesi PdP perlu sentiasa memakai pelitup muka dan mencuci tangan dengan air dan sabun lebih kerap.

MBK kurang upaya penglihatan yang perlu memegang bahan bantu belajar (guna sama) seperti grafik taktil dan peralatan khas, perlu lebih kerap mencuci tangan dengan air dan sabun.

"Perabot dan peralatan termasuk peralatan khas yang tidak digunakan perlu disimpan atau diketepikan bagi mengurangkan sentuhan," menurut garis panduan itu.

Dalam garis panduan dinyatakan MBK hendaklah sentiasa diingatkan untuk mencuci tangan dengan air dan sabun setiap kali menggunakan tandas.

Guru atau PPM yang membantu MBK mengurus diri hendaklah memakai pelitup muka serta mencuci tangan dengan air dan sabun dengan lebih kerap.

Pihak sekolah juga perlu mengasingkan MBK yang mempunyai masalah tingkah laku semasa waktu persekolahan.

Sekiranya keadaan menjadi tidak terkawal, pihak sekolah perlu menghubungi ibu bapa/penjaga untuk membawa MBK pulang ke rumah.

Bagi pelaksanaan PdP, sekolah perlu mengekalkan guru dan PPM yang sama bagi satu-satu kelas untuk mengelakkan MBK terdedah kepada lebih ramai orang.

Dalam masa yang sama, Rancangan Pendidikan Individu (RPI) perlu dikongsikan oleh guru kepada ibu bapa/penjaga bagi memastikan pembelajaran dan intervensi dapat dilaksanakan di rumah.

Pihak sekolah hendaklah menangguhkan sebarang kegiatan luar dan terapeutik seperti berenang dan berkuda sehingga pemakluman baharu dikeluarkan oleh kementerian.

Berita Harian X