Jumaat, 20 March 2020 | 2:39pm
Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.
Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

COVID-19: Serius patuhi arahan kerajaan

KUALA LUMPUR: Masyarakat perlu mengambil serius saranan dan rayuan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya berada di dalam rumah dan bekerja dari rumah sebagai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac depan.

Pakar Sosial, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata masih terdapat segelintir masyarakat mengambil tidak kisah atau tidak faham mengapa polisi itu dibuat oleh pihak kerajaan supaya tidak keluar rumah dalam keadaan penularan wabak COVID-19 melanda negara pada masa ini.

Katanya, perkara sedemikian tidak seharusnya berlaku, malah ada yang membuka gerai, makan beramai-ramai, berkumpul dan berbincang di tepi jalan serta membuka pasar pagi.

“Diharapkan masyarakat semua peringkat di seluruh negara mengambil serius arahan kerajaan untuk tidak keluar dari rumah masing-masing kecuali atas sebab kritikal seperti membeli barang keperluan dapur dalam kadar segera supaya tidak terdedah kepada suasana di luar rumah dalam tempoh waktu lama.

“Hal ini perlu dan penting untuk memastikan keberkesanan pihak kerajaan untuk mengawal merebaknya virus berbahaya COVID-19 yang melanda negara,” katanya kepada BH, hari ini.

Sekiranya masyarakat tidak serius terhadap saranan kerajaan, maka usaha membanteras COVID-19 daripada merebak tidak akan mencapai kejayaan dan sudah tentu perintah kawalan pergerakan akan berlanjutan lebih lama lagi sekali gus menyusahkan banyak pihak.

Prof Mohammad Shatar yang juga Naib Canselor UPSI berkata, seluruh rakyat perlu bersatu memberi komitmen yang tinggi untuk mematuhi setiap arahan yang diberikan oleh kerajaan.

Beliau berkata, masyarakat di negara ini perlu mengambil iktibar daripada komitmen rakyat China yang berjaya keluar dari belenggu wabak ini kerana patuh kepada arahan kerajaan.

Katanya, di China, mereka mengawal keadaan itu dengan mengosong semua jalan kosong tanpa kenderaan, tiada masyarakat yang keluar berkelah, mahupun berkumpul di luar rumah.

“Kita tidak mahu langkah pengasingan diri selama dua minggu ini berlanjutan dan untuk itu masyarakat perlu menjadi ejen perubahan kepada usaha kerajaan dan sama-sama memberi teguran supaya secepat mungkin kita dapat keluar daripada krisis ini,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X