X
Sabtu, 14 March 2020 | 4:43pm
Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT), Profesor Datuk Dr Norzaini Azman. - Foto ihsan PenDAPaT
Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT), Profesor Datuk Dr Norzaini Azman. - Foto ihsan PenDAPaT

Dasar Kementerian Pengajian Tinggi bukan bersifat 'ad hoc'

KUALA LUMPUR: Sebarang dasar yang akan diperkenalkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak harus bersifat ‘ad hoc’ tanpa perancangan teliti dan bersandar kepada sentimen tertentu sahaja.

Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT), Profesor Datuk Dr Norzaini Azman, berkata dasar yang akan diperkenalkan kementerian itu perlu berasaskan kajian empirikal dan pembuktian.

“PenDaPaT akan sentiasa menyokong apa juga dasar dan strategi kerajaan dan kementerian yang berasaskan kajian empirikal dan pembuktian namun ia tidak lagi boleh bersifat ad-hoc yang hanya bersandarkan kepada sentimen semata-mata.

“Penubuhan Suruhanjaya Pendidikan Tinggi sebagai badan penasihat dan pembuat dasar utama hal ehwal pendidikan tinggi penting dalam memastikan hala tuju dan keputusan berkaitan tidak dipengaruhi oleh tekanan atau campur tangan politik atau kepentingan badan-badan tertentu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Norzaini berkata, KPT yang diwujudkan semula ini perlu meneliti semula setiap jabatan dan agensi yang ada supaya ia selari dengan matlamat asal.

“Terdapat keperluan untuk melihat semula beberapa jabatan dan agensi di bawah bidang pendidikan tinggi yang sudah bertukar-tukar fungsinya dan juga lari daripada fokus utama penubuhannya.

“Peranan asal universiti iaitu penerokaan dan penyebaran ilmu baharu, pendidikan anak bangsa, tempat percambahan idea serta penyuburan nilai ke arah membangun masyarakat bertamadun perlu dikembalikan dan perlu diberi mandat tanggungjawab sosial yang penting dalam pembangunan masyarakat dan wawasan negara,” katanya.

Dr Norzaini juga berkata, sistem penarafan ranking oleh universiti walaupun memberi kelebihan, ia perlu disemak semak semula untuk melihat keperluan semasa kerana tidak semua universiti di Malaysia perlu terjebak dalam sistem berkenaan.

“Sebilangannya ditubuhkan untuk pembangunan komuniti setempat atau wilayah tetapi kalangan ini itu tidak merasa kehadiran universiti kerana terlalu ghairah dengan jangkauan global yang tidak diimbangi dengan pembabitan komuniti setempat,” katanya.

Jelas beliau, PenDaPaT merasakan wajar untuk pembentukan akta baharu bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Akta 555) dan Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib Dan Surcaj) 2000.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X