X
Selasa, 10 March 2020 | 10:57am
 Dr Mohd Radzi Md Jidin. Foto fail NSTP
Dr Mohd Radzi Md Jidin. Foto fail NSTP

Mohd Radzi mampu lonjakkan pendidikan negara - BSTP

KUALA TERENGGANU: Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) Kementerian Pendidikan (KPM) berkeyakinan menteri dan timbalan menteri yang baharu dilantik semalam mampu melonjakkan prestasi pendidikan negara hingga ke pentas dunia.

Pengarahnya, Shafruddin Ali Hussin menyifatkan latar belakang pendidikan yang dimiliki Dr Mohd Radzi Md Jidin yang dilantik sebagai Menteri Pendidikan sebagai aset bernilai buat negara dan bertepatan dengan jawatan yang disandangnya.

Selain itu, beliau percaya pengalaman luas Mohd Radzi bakal memperkasakan lagi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang diilhamkan sendiri oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin ketika menyandang jawatan Menteri Pendidikan.

Pandangan sama turut dikongsikan Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP), Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Wan Mohd Zuhaidi Wan Hassan yang turut menyatakan pelantikan Mohd Radzi adalah tepat dan aset penting dalam menerajui KPM.

“Beliau mungkin baharu dalam arena politik tanah air, namun sejarah pendidikan dan pengalaman perkhidmatan beliau adalah aset penting negara dalam menerajui kepemimpinan KPM yang memerlukan kepada anjakan naratif serta pemikiran yang baharu.

“Saya yakin pemikiran hebat beliau sangat dituntut dalam mewarnai cabaran pendidikan pada hari ini dan masa hadapan,” katanya.

Dalam pelantikan anggota Kabinet yang diumumkan semalam, Mohd Radzi dilantik sebagai Menteri Pendidikan yang juga antara empat menteri kanan, manakala Timbalan Menteri Pendidikan I disandang Datuk Dr Mah Hang Soon dan Timbalan Menteri II, Muslimin Yahaya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X