X
Khamis, 5 March 2020 | 4:57pm
NABILA IRDINA Mat Yaacob, 18, menerima Anugerah Kategori Pelajar Terbaik SPM Berkeperluan Khas sempena keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 dengan pencapaian 12A di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Shah Alam, hari ini. - Foto NSTP/Faiz Anuar
NABILA IRDINA Mat Yaacob, 18, menerima Anugerah Kategori Pelajar Terbaik SPM Berkeperluan Khas sempena keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 dengan pencapaian 12A di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Shah Alam, hari ini. - Foto NSTP/Faiz Anuar

Penghidap Skoliosis peroleh keputusan SPM 12A

SHAH ALAM: Tepukan gemuruh hadirin mengiringi langkah seorang penghidap Skoliosis, Nabila Irdina Mat Yaacob, 18, naik ke pentas utama saat namanya diumumkan sebagai penerima Anugerah Kategori Pelajar Terbaik SPM Berkeperluan Khas sempena keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 dengan pencapaian 12A.

Nabila Irdina adalah antara 60 calon cemerlang peperiksaan itu di Selangor tahun lalu dengan pencapaian 9A+ hingga 12A+ yang diraikan pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2019 di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) di sini, hari ini.

Calon Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Rawang itu berkata, penyakit fizikal kekal yang mula dikesan sejak lima tahun lalu itu menyebabkan tulang belakangnya membengkok yang mengakibatkan dia terpaksa menahan kesakitan apabila duduk dan menulis terlalu lama, selain mudah letih serta sukar bernafas.

“Pernah ketika minggu peperiksaan SPM November lalu, saya tidak dapat menggerakkan tangan kanan kerana banyak membuat latihan dan menulis nota semasa mengulang kaji pelajaran pada waktu malam.

“Saya terpaksa menggunakan tangan kiri untuk belajar dan sangat sukar kerana bukannya kidal, namun saya bersyukur sahabat di asrama sangat membantu memudahkan urusan saya dengan sama-sama belajar, menyuap makanan, mengikat rambut serta memakaikan tudung.

“Alhamdulillah, apabila pada hari kertas peperiksaan tiba, tangan saya kembali sembuh dan boleh menjawab soalan dengan baik,” katanya yang air matanya bergenang tatkala mengimbau penderitaan itu.

Nabila Irdina (tengah) bersama ayah, Mat Yaacob Zakaria dan ibu, Masyitah Abdullah melihat keputusan cemerlang SPM 2019 diperolehnya. - Foto NSTP/Faiz Anuar
Nabila Irdina (tengah) bersama ayah, Mat Yaacob Zakaria dan ibu, Masyitah Abdullah melihat keputusan cemerlang SPM 2019 diperolehnya. - Foto NSTP/Faiz Anuar

Anak ketiga daripada enam beradik itu mengakui tidak menyangka memperoleh keputusan itu memandangkan hanya mencatatkan 8A pada percubaan SPM lalu dan menganggap semuanya rezeki daripada Allah SWT, usaha berterusan dan sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan keluarga.

Beliau berkata, guru SBPI Rawang yang mempraktikkan budaya kekeluargaan turut memberi sumbangan besar terhadap pencapaiannya itu kerana sanggup meluangkan masa sehingga tengah malam bagi membantu pelajar mengulang kaji di asrama, memberikan kata-kata harapan setiap hari dan sering bertanya khabar di dalam kelas.

Diminta berkongsi tip kejayaan kepada pelajar lain, Nabila Irdina berkata, setiap orang boleh berjaya asalkan gigih berusaha dan memiliki semangat tinggi.

“Allah jadikan setiap manusia memiliki kelebihan masing-masing, jadi berusahalah sebaik mungkin, jangan jadikan kekurangan diri, contohnya masalah kesihatan sebagai alasan untuk tidak berjaya.

“Belajar menggunakan jadual tersusun, miliki azam, buat baik kepada ibu bapa dan orang keliling, hormat guru, jaga hubungan sesama manusia, lakukan amalan agama serta berdoa, kita pasti berjaya,” kata pelajar aliran Sains Tulen itu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X