X
Khamis, 5 March 2020 | 4:24pm

SPM: 938 calon MRSM catat 9A

KUALA LUMPUR: Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) melakar prestasi memberangsangkan apabila seramai 938 orang pelajarnya yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu memperoleh keputusan 9A.

Menerusi kenyataan, seramai 7,586 calon dari 54 MRSM menduduki SPM 2019 dan 100 peratus lulus dalam semua kertas.

“Sebanyak lima MRSM menunjukkan prestasi yang cemerlang dengan Gred Purata Maktab (GPM) kurang daripada 2.0, iaitu MRSM Tun Ghafar Baba, MRSM Taiping, MRSM Langkawi, MRSM Kubang Pasu dan MRSM Parit.

“Pencapaian pelajar MRSM juga menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dengan bilangan calon yang mendapat 9A (A+, A dan A-) seramai 938 orang. Calon yang memperoleh semua A+ seramai 23 orang.

“MARA akan terus komited untuk meningkatkan prestasi akademik pelajar MRSM dalam usaha memperkasa penguasaan pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM),” katanya, hari ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim, hari ini mengumumkan seramai 8,876 daripada 389,498 calon SPM 2019 memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran.

Bilangan calon yang mendapat sekurang-kurangnya kepujian atau gred C dalam semua mata pelajaran turut menunjukkan peningkatan, iaitu 77,038 calon, berbanding 74,360 pada tahun lalu.

Selain itu, pencapaian calon SPM di bandar dan luar bandar mencatatkan peningkatan, namun prestasi calon di bandar dilihat lebih baik, sekali gus menyebabkan jurang pencapaian bertambah 0.01 peratus.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X