Khamis, 5 March 2020 | 10:34am
KETUA PENGARAH PELAJARAN, Dr Habibah Abdul Rahim menunjukkan buku laporan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Tahun 2019 selepas sidang media di Putrajaya, hari ini. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
KETUA PENGARAH PELAJARAN, Dr Habibah Abdul Rahim menunjukkan buku laporan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Tahun 2019 selepas sidang media di Putrajaya, hari ini. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Prestasi SPM 2019 lebih baik berbanding 2018

PUTRAJAYA: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 mencatatkan pencapaian yang lebih baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.86, berbanding 4.89 pada 2018.

Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim, berkata seramai 8,876 calon memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran pada 2019 berbanding 8,436 calon pada 2018.

Katanya, bilangan calon yang mendapat sekurang-kurangnya kepujian atau gred C dalam semua mata pelajaran juga menunjukkan peningkatan seramai 2,678 calon iaitu 77,038 pada 2019 berbanding 74,360 calon pada 2018.

“Seramai 147,738 calon (37.93 peratus) sekurang-kurangnya lulus semua mata pelajaran yang diduduki pada 2019, peningkatan sebanyak 69 calon (0.05 peratus) berbanding 2018.

“Tahun ini juga peratus calon yang layak menerima sijil SPM meningkat sebanyak 0.33 peratus iaitu 86.72 peratus (337,773 calon) berbanding 86.39 peratus (338,350 calon) pada 2018,” katanya pada sidang media pengumuman analisis keputusan SPM 2019 di sini, hari ini.

Seramai 389,498 calon menduduki peperiksaan SPM 2019.

Calon SPM 2019 boleh memperoleh keputusan daripada sekolah masing-masing mulai jam 10 pagi ini, manakala calon persendirian akan dimaklumkan melalui pos oleh Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing.

Sementara itu, semakan keputusan SPM 2019 juga boleh dilakukan menggunakan perkhidmatan mySMS atau melayari portal Lembaga Peperiksaan di alamat lp.moe.gov.my.

Berita Harian X