Isnin, 17 Februari 2020 | 1:38pm

11 huffaz sertai program TVET-Tahfiz

MELAKA: Seramai 11 pelajar tahfiz mengikuti Kursus Juruteknik Perantisan Aeroangkasa berkonsep Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Bukit Katil.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar, berkata ianya program SLDN pertama kementerian membabitkan kursus berkenaan bermula Februari yang dijangka berakhir 27 November ini.

Katanya, mereka mengikuti latihan tiga bulan di ILP dan tujuh bulan di Composites Technology Research Malaysia (CTRM) dengan mereka yang berjaya akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap dua bidang pembuatan komposit seterus berpeluang bekerja di agensi terbabit.

Katanya, pendekatan Latihan Vokasional dan Pendidikan Teknikal (TVET)- Tahfiz di ILP dengan mengadakan program tasmik bersama CTRM dan ustaz di ILP, turut menerima sokongan dari Majlis Agama Islam (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Malah, ILP merancang menganugerahkan sijil tahfiz kepada mereka yang berjaya menamatkan program tahfiz di institut terbabit.

’Sehubungan itu, saya berharap usaha seperti ini akan dapat dikembangkan ke lebih banyak pusat tahfiz meliputi 1,500 yang berdaftar sekali gus mampu memberi impak kepada pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian program TVET Pemacu Pembangunan Negara di ILP Bukit Katil, di sini, hari ini.

Mahfuz berkata, program TVET- Tahfiz diilhamkan pada 2019 itu membantu pelajar tahfiz untuk memperolehi Persijilan Kemahiran Malaysia yang diiktiraf kerajaan Malaysia.

Program berkenaan mampu melahirkan golongan teknokrat dan huffaz yang profesional.

Justeru, laluan TVET diperluas dalam kalangan pelajar tahfiz bagi melengkapkan mereka untuk memenuhi keperluan industri.

Bagi Akif Jefri,18, dari Ipoh Perak berkata, dia teruja menyerai kurusus berkenaan, berikutan TVET membentuk asas pekerja mahirsekali gus antara kunci kemajuan negara pada masa depan.

Akif yang sudah menghafaz 10 juzuk Al Quran dari Maahad Tahfiz Addin di Perak juga mengakui gembira diberi peluang untuk mempelajari bidang aeroangkasa terbabit.

MAHFUZ bersama sebahagian 11 pelajar tahfiz yang menyertai kursus juruteknik perantisan aeroangkasa berkonsep Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di Institut Latihan Perindustrian Bukit Katil. - NSTP/Nazri Abu Bakar
MAHFUZ bersama sebahagian 11 pelajar tahfiz yang menyertai kursus juruteknik perantisan aeroangkasa berkonsep Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di Institut Latihan Perindustrian Bukit Katil. - NSTP/Nazri Abu Bakar
Berita Harian X