X
Khamis, 30 Januari 2020 | 3:11pm
Wahi (kanan) dan Farah Ezrin (dua dari kanan) selepas mengadakan pertemuan di Jabatan Pendidikan Tinggi di Putrajaya, baru-baru ini. - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD
Wahi (kanan) dan Farah Ezrin (dua dari kanan) selepas mengadakan pertemuan di Jabatan Pendidikan Tinggi di Putrajaya, baru-baru ini. - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD

MindCampus bantu persediaan awal pemohon ke universiti

PUTRAJAYA: Buat julung kalinya, Jabatan Vertikal Pendidikan (EV) The New Straits Times Press Bhd (NSTP) menjalin kerjasama strategik dengan Bahagian Kemasukan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Jabatan Pendidikan Tinggi untuk mempelbagaikan kandungan dan akses maklumat terutama bagi mereka yang ingin memohon melanjutkan pengajian di universiti.

Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Wahi Nordin, berkata beliau melihat kolaborasi kedua-dua organisasi melalui laman sesawang MindCampus dari sudut positif khususnya untuk manfaat tempoh jangka panjang.

Beliau berkata, platform itu dapat membantu orang ramai khususnya dalam mendapatkan maklumat berkaitan syarat kemasukan ke universiti, kaedah pengiraan merit, kursus ditawarkan dan syarat terkini ditetapkan sesebuah universiti secara lebih dekat.

Wahi Nordin - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD
Wahi Nordin - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD

“Berdasarkan perbincangan dilakukan, saya melihat kerjasama ini dapat membantu pelajar, kaunselor dan ibu bapa terutama bagi membuat persediaan awal dalam membuat permohonan ke universiti, malah MindCampus memberi platform tambahan selain aplikasi UPU Pocket yang kami bangunkan.

“Di samping itu, ia juga sejajar dengan perkembangan digital dan era teknologi kini di mana banyak maklumat yang boleh diperoleh serta diakses dengan pantas di hujung jari,” katanya ketika menerima kunjungan rombongan EV, baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Pengurus Besar EV, Farah Ezrin Mohd Rashidi; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Aidil Harun dan Noor Cahaya Kadir; Ketua Bahagian Kandungan Bahasa Melayu EV, Ridzuan Yop, Ketua Bahagian Kandungan Bahasa Inggeris EV, Hazlina Aziz serta Ketua Bahagian Portal dan Aplikasi EV, Nufazlina Mohd Radzi.

MindCampus menyediakan maklumat terkini mengenai senarai universiti, program pengajian yang ditawarkan dan maklumat mengenai penawaran biasiswa yang dibuat oleh kerajaan, sektor korporat, universiti serta industri perbankan bagi memudahkan pengguna mendapatkan informasi berkaitan.

Sementara itu, Farah Ezrin, berkata, MindCampus membolehkan pengguna membuat perbandingan universiti dan kursus yang ditawarkan dengan lebih mudah sebelum mengambil keputusan besar dalam hidup mereka.

Beliau berkata, pengguna juga berpeluang mendapatkan berita terkini mengenai pendidikan tinggi di ruangan Readpoint yang disediakan dalam platform berkenaan.

“Sejak dilancarkan pada Disember 2017, sebanyak 90,440 muat turun direkodkan untuk aplikasi MindCampus yang memaparkan 170 institusi pengajian dan 7,136 kursus berdasarkan lokasi serta peringkat pengajian,” katanya.

Bagi mendapatkan maklumat mengenai MindCampus, pengguna boleh melayari laman web rasmi di alamat mindcampus.my atau melalui aplikasi yang boleh dimuat turun melalui Google PlayStore untuk pengguna Android dan Apple Store bagi pengguna iOS.

Berita Harian X