KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengungguli kategori ‘Student-Driven Sustainability Project of the Year Award’ di Majlis Penganugerahan Asia-Pacific Triple E Awards on Entrepreneurship and Engagement Excellence in Higher Education (ACEEU) 2020, di India, semalam.
UMK dalam satu kenyataan menyatakan kemenangan itu diperoleh menerusi projek ‘Social Enterprise for Economic Development (SEED)’ yang diwakili Pengarah Pusat Antarabangsa universiti itu, Prof Madya Dr Wee Yu Ghee.
“UMK turut memenangi tempat ketiga bagi kategori ‘Entrepreneurial Leader of the Year Award’ yang diwakili Pengarah Kanan Institut Keusahawanan UMK (UMKEI), Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad,” menurut kenyataan itu.
Anugerah disampaikan Pengerusi Anugerah ACEEU Awards Prof Dr Thorsten Kliewe.
ACEEU Awards menerima lebih 300 penyertaan daripada lebih 50 universiti di rantau Asia Pasifik untuk 12 kategori penganugerahan.
Antara tujuh kategori penyertaan yang dihantar, UMK menerusi UMKEI, Pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi telah tersenarai sebagai finalis bagi tiga kategori iaitu Entrepreneurial Leader of the Year Award, Student-Driven Sustainability Project of the Year Award dan Entrepreneurship Educator of the Year Award. - BERNAMA