Khamis, 19 Disember 2019 | 2:28pm
PENGETUA Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lumpur (SMKAKL), Azman Yusof (dua dari kiri) bersama tiga pelajar cemerlang membabitkan empat komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) 2019, Iman Bayrisyia Jefri (kiri), Aiman Firdaus Hazmi Azmin Farid dan Muhammad Azri Muaz (kanan) di SMKAKL di Kuala Lumpur (SMKAKL), hari ini. - Foto NSTP/MAHZIR MAT ISA

Minda bantu calon PT3 atasi kelemahan subjek

KUALA LUMPUR: Kaedah ulang kaji sistematik, termasuk penggunaan sisipan Minda dalam akhbar BH secara rutin sejak awal tahun yang dipraktikkan Iman Batrisyia Jefri, 15, berjaya merealisasikan sasarannya memperoleh semua A bagi 12 mata pelajaran pada keputusan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) 2019 yang diumumkan hari ini.

Lebih membanggakan, usaha calon PT3 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lumpur (SMKAKL), di sini, itu menyaksikannya pertama kali mencatatkan pencapaian A bagi Matematik sejak Tingkatan Satu.

Iman Batrisyia yang berpegang kepada prinsip hanya diri sendiri mampu melakukan perubahan dikehendaki’ mengakui sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan walaupun pernah berasa tertekan tatkala melihat markah gagal yang diperolehnya untuk mata pelajaran Matematik ketika di Tingkatan Satu.

“Sejak hari pertama di SMKAKL, saya sudah meletakkan sasaran untuk memperoleh semua A pada PT3 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), justeru saya menguatkan tekad mengatasi kelemahan dengan belajar dan membuat latihan setiap hari.

IMAN BATRISYIA Jefri memperoleh semua A bagi 12 mata pelajaran pada keputusan PT3 2019. - Foto NSTP/MAHZIR MAT ISA
IMAN BATRISYIA Jefri memperoleh semua A bagi 12 mata pelajaran pada keputusan PT3 2019. - Foto NSTP/MAHZIR MAT ISA

“Pada waktu ulang kaji dan hujung minggu, saya melipatgandakan latihan terutama bagi Matematik dan jika stres belajar, saya berhenti sebentar untuk menonton televisyen atau melayari internet,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Keputusan PT3 Peringkat Sekolah SMKAKL, di sini, sebentar tadi.

Keputusan PT3 SMKAKL menyaksikan empat pelajarnya, termasuk Iman Batrisyia memperoleh keputusan cemerlang membabitkan semua empat komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang mula diperkenalkan Kementerian Pendidikan bagi PT3 pada 2014.

Empat komponen PBS itu ialah Pentaksiran Bilik Darjah (PBD); Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK); Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Pusat, iaitu PT3.

IMAN BATRISYIA (kanan) menunjukkan keputusan PT3 kepada keluarganya di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lumpur (SMKAKL). - Foto NSTP/MAHZIR MAT ISA
IMAN BATRISYIA (kanan) menunjukkan keputusan PT3 kepada keluarganya di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lumpur (SMKAKL). - Foto NSTP/MAHZIR MAT ISA

Berkongsi kelebihan BH Minda, Iman Batrisyia berkata, sisipan itu dilanggan dan diedarkan pihak sekolah setiap minggu kepada pelajar sebagai bahan bantuan belajar di dalam kelas.

Katanya, usaha itu membantu pelajar mempelbagaikan kaedah ulang kaji dan memperoleh manfaat tambahan sebagai persediaan menduduki peperiksaan.

“Setiap hari saya akan memperuntukkan masa menyelak bahagian soalan dalam sisipan Minda yang memaparkan semua mata pelajaran PT3 untuk membaca penerangan dan menjawab latihan diberi.

BH Minda mengandungi soalan mencabar pemikiran dan berbeza dengan kandungan buku latihan lain, sekali gus menambah pengetahuan serta membantu saya mengatasi kelemahan,” katanya.

Berita Harian X